PETALING JAYA: Tiada unsur jenayah berhubung kejadian lelaki yang ditemukan maut dipercayai terjatuh tingkat empat pusat beli-belah Suria KLCC dekat sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Katanya, pemeriksaan mendapati mangsa berusia 25 tahun itu didapati mempunyai kad rawatan psikiatrik dari Hospital Klang.
Katanya, kad itu ditemukan dalam beg galas yang disandangnya.
“Hasil siasatan awal melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa terjun dari tingkat empat bangunan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Rabu lalu, orang ramai gempar apabila seorang lelaki dipercayai terjatuh di pusat beli-belah KLCC kira-kira pukul 1.52 petang.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan mayat dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.- UTUSAN ONLINE