Tiada bukti 13 transaksi pemindahan wang ada kaitan dengan 1MDB - Peguam - Utusan Malaysia

Tiada bukti 13 transaksi pemindahan wang ada kaitan dengan 1MDB – Peguam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu, 13 transaksi wang melibatkan tujuh akaun milik bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa dan isterinya, Lim Hwee Bin tidak mempunyai kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili pasangan suami isteri itu berhujah, tiada bukti menunjukkan transaksi yang berlaku di antara 7 Ogos 2015 dan 17 Ogos 2018 itu mempunyai hubungan dengan 1MDB.

Menurut beliau, pemindahan wang itu sebaliknya membabitkan akaun peribadi beberapa buah bank milik Roger dan isterinya serta pembayaran sebanyak RM85,864.21 kepada Inland Revenue Authority of Singapore (IRAS).

Hujah Hock Chuan, daripada tujuh akaun itu, empat milik Roger, dua merupakan akaun bersama milik kedua-duanya manakala dua lagi milik isterinya.

Sehubungan itu, peguam bela menghujahkan, pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa transaksi daripada tujuh akaun itu meragukan dan merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Hujah Hock Chuan lagi, asas pihak pendakwaan bahawa wang dalam akaun-akaun berkenaan adalah hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram adalah dakwaan semata-mata tanpa disokong oleh bukti nyata.

Permohonan yang didengar di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 5 April ini.

Mahkamah sedang mendengar permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak barangan yang disita dari kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, isteri dan 17 pihak lain, dua tahun lalu.

Pihak pendakwaan menamakan Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak mereka iaitu Nor Ashman Razak Mohd. Najib dan Nooryana Najwa Mohd. Najib serta Riza Shahriz Abdul Aziz (anak tiri Najib) sebagai responden pertama hingga kelima.

Selain itu, Mohd Kyizzad Mesran, Senijauhar Sdn. Bhd., Aiman Ruslan, Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta, Yayasan Mustika Kasih. Rembulan Kembara Sdn. Bhd., Goh Gaik Ewe (ibu kepada Low Taek Jho), Roger dan isteri, Kee Kok Thiam, Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun sebagai responden-responden.

Antara barangan yang disita pada 17 Mei 2018 ialah 52 beg tangan pelbagai jenama, 10 utas jam tangan pelbagai jenama, wang tunai berjumlah RM537,000.

Ia melibatkan Pound Sterling 2,700, Rupee Sri Lanka 2,870,000, wang lama Ringgit Malaysia RM187,750, Pound Sterling 320,500, Rupiah 13,177,00, US$100, Hryvnies (Ukraine) 376, Euro 20, France 50, South African 10 Rand, Singapore Dollar 40, Riyal 531, Phillipines Peso 740 dan Ringgit Malaysia 21,150 (wang baharu) yang disita pada 17 Mei 2018 oleh pihak polis.

Barangan lain yang disita pada 11 Jun 2018 ialah empat utas jam tangan pelbagai jenama, empat buah beg tangan pelbagai saiz dan jenama, 167 buah beg tangan pelbagai jenama dan 27 pasang kasut pelbagai jenama serta 40 buah beg tangan pelbagai jenama.

Sebanyak 27 buah kereta jenama Nissan turut disita pada 2 Ogos 2018 selain sebidang tanah di Tanjung Bungah Pulau Pinang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya