Tambak laut, Pas Pulau Pinang gesa kerajaan Pusat campur tangan - Utusan Malaysia

Tambak laut, Pas Pulau Pinang gesa kerajaan Pusat campur tangan

Mugshot: MUHAMMAD FAUZI YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pas Pulau Pinang menggesa kerajaan Pusat campur tangan dalam isu projek tambak laut di perairan selatan negeri ini (PSR) bagi membentuk tiga buah pulau buatan yang dirancang kerajaan negeri.

Pesuruhjayanya, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, kesungguhan kerajaan negeri mahu memulakan projek tambak laut itu yang dijadual hujung bulan depan tidak menghormati proses rayuan Unit Nelayan Sungai Batu terhadap Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi membatalkan kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) projek tersebut.

Sedangkan, kata beliau, rayuan itu mempunyai risiko pembatalan EIA projek tersebut sekali gus menimbulkan persoalan berkenaan kenyataan kerajaan negeri yang mahu memulakannya bulan depan.

Tegasnya, tindakan ‘gelojoh’ kerajaan negeri itu menggambarkan kedudukan yang terdesak yang cuba disorokkan untuk membina keyakinan palsu terhadap pelabur.

“Pas Pulau Pinang bertegas supaya penilaian semula EIA mesti dilakukan dengan proses penyertaan awam secara terbuka dan telus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, fasa pertama PSR iaitu tambakan laut bagi membentuk Pulau A seluas kira-kira 930 hektar dijangka bermula hujung bulan depan atau awal Jun.

Menurut Ahmad Zakiyuddin, tambakan sebahagian Pulau A seluas 486 hektar terlebih dahulu itu yang dijangka selesai pada 2027 akan bermula sebaik sahaja kerajaan negeri menerima kelulusan Laporan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Dalam pada itu, Muhammad Fauzi berkata, Pas Pulau Pinang konsisten membantah projek itu bagi memastikan nelayan-nelayan tidak terus tertindas dan sekuriti makanan rakyat terjamin dalam menghadapi cabaran di era pandemik Covid-19. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya