SOP khusus pengembara dari negara ada virus varian baharu - Utusan Malaysia

SOP khusus pengembara dari negara ada virus varian baharu

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan menetapkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) ke atas pengembara yang tiba dari negara didapati ada penularan virus SARS-CoV-2 varian baharu.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jenis baharu dirujuk sebagai Variant of Concern (VOC) itu ada yang dilaporkan sudah dikesan di Malaysia.

“Kementerian Kesihatan sebelum ini juga mengesahkan perkembangan mutakhir di banyak negara melaporkan kemunculan jenis baharu misalnya B.1.351 atau varian Afrika Selatan.

“Justeru, melihat perkembangan semasa di luar negara, dikhuatiri varian itu kemungkinan boleh dibawa masuk oleh pengembara ke Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sehubungan itu ujarnya, kerajaan melaksanakan pelbagai SOP ke atas mereka antaranya menjalani ujian calitan sampel bagi pengesanan jangkitan tiga hari sebelum tarikh berlepas.

Pengembara itu, katanya, turut dikehendaki menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di stesen kuarantin dengan tempoh berkenaan dipanjangkan daripada 10 hari kepada 14 hari.

Selain itu jelasnya, individu terbabit juga kena mematuhi SOP iaitu memuat turun, mendaftar dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera dalam telefon bimbit sebelum mereka tiba di Malaysia.

“Aplikasi ini haruslah digunakan untuk mendaftar kod QR sejurus ketibaan di pintu masuk antarabangsa serta mereka juga kena melalui saringan demam dan gejala,” kata Ismail Sabri.

Selepas itu, mereka perlu memantau status kesihatan kendiri selama 14 hari dari tarikh ketibaan dan jika bergejala, mereka perlu segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan.

Pada masa sama katanya, setelah penilaian selanjutnya, mereka kekal tinggal dalam stesen kuarantin dan tidak keluar bilik di samping menjalani sampel calitan kedua pada hari ke-10

Mereka tegas beliau, wajib mematuhi SOP, perundangan dan peraturan berkaitan dengan pengurusan Covid-19 yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia pada sepanjang masa.

VOC ujarnya, setakat ini boleh menyebabkan berlaku jangkitan dengan pantas, gejala teruk dan komplikasi, termasuk kemasukan ke wad dan unit rawatan rapi serta akhirnya kematian.

Malah kara Ismail Sabri, varian baharu itu mengakibatkan kurang keberkesanan perlindungan yang diberi oleh vaksin dan sukar dikesan jangkitan wabak menerusi ujian makmal tertentu.

“Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ketika ini ada tiga jenis VOC yang membimbangkan sama ada dari Afrika Selatan, Britain serta Brazil dan Jepun,” katanya.

Kini tambah beliau, varian itu sudah mula merebak ke seluruh dunia dan ia dikesan kerap bermutasi bagi memastikan kelangsungan hidupnya dalam persekitaran bersama manusia. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya