Sindiket dadah didalangi lima sekeluarga tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket dadah didalangi lima sekeluarga tumpas

MOHD. Yusri Hassan (tengah) menunjukkan hasil rampasan dadah daripada sindiket didalangi lima sekeluaga yang ditahan di Bera dan Ipoh, Perak, Rabu lalu dalam sidang akhbar di IPK Pahang di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Lima sekeluarga termasuk seorang wanita disyaki anggota sindiket pengedaran dadah ditahan sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Narkotik Pahang dibantu bahagian siasatan jenayah Bera dan Ipoh, Perak dalam dua tangkapan berasingan iaitu di Bera dan Ipoh pada Rabu lalu.

Dalam tangkapan itu, polis menahan suspek berusia antara 19 hingga 48 tahun serta merampas enam kilogram dadah jenis syabu, heroin dan serbuk kafein dianggarkan bernilai lebih RM91,717 dan wang tunai serta barang kemas sebanyak RM1,500.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, siasatan awal mendapati suspek yang berasal dari Negeri Sembilan dan Perak itu mempunyai pertalian keluarga.

“Dalam tangkapan pertama, kira-kira pukul 9 pagi, tiga suspek ditahan dalam sebuah kereta dipercayai ketika sedang menunggu pelanggan di hadapan kedai makanan segera di Bera. Pemeriksaan menemukan dadah jenis heroin dengan anggaran berat 1.03 kilogram dan 4.5 kilogram heroin,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

Mohd. Yusri berkata, dalam ujian saringan awal polis mendapati salah seorang yang ditahan positif ganja manakala dua suspek lagi positif methamphetamine.

“Bagaimanapun salah seorang daripada suspek ini tidak mempunyai rekod lampau manakala dua lagi ahli keluarganya mempunyai dua rekod lampau bagi kesalahan dadah dan tiga kesalahan jenayah,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, susulan penahanan tersebut pihaknya juga berjaya menahan dua lagi suspek di sebuah rumah di Ipoh, Perak pada hari yang sama kira-kira pukul 7.45 petang.

“Hasil pemeriksaan di rumah sewa itu, polis menangkap dua suspek dan salah seorangnya merupakan suami kepada suspek wanita yang ditahan di Bera.

“Polis menemukan dan merampas bahan-bahan dan peralatan disyakki digunakan untuk memproses dadah selain sejumlah dadah jenis heroin sebanyak 353 gram manakala kafien sebanyak 2.7 gram.

“Saringan awal mendapati salah seorang daripada mereka negatif urin dan seorang lagi positif morfin namun masing-masing mempunyai dua rekod lampau bagi kesalahan dadah dan jenayah,” katanya.

Sementara itu, katanya, mereka memproses sendiri dadah yang diperoleh dari utara tanah air untuk diedarkan kepada kira-kira 17,318 penagih di Bera, Temerloh dan Maran sejak dua bulan lalu.

“Semua suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga 13 April depan. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukum gantung sampai mati jika sabit kesalahan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya