fbpx

Sindiket dadah guna Porsche, Mustang tumpas

ZAINUDIN Ahmad (tiga dari kanan) menunjukkan bungkusan dadah yang dirampas dalam serbuan baru-baru ini melibatkan sindiket penyeludupan antarabangsa dalam sidang akhbar di IPD Batu, Pahat, Johor. -UTUSAN/NUR ALINA HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Sindiket pengedaran dadah antarabangsa didalangi ahli perniagaan bergelar Datuk yang berpusat di Selangor, terbongkar hasil enam serbuan di sekitar Johor dan negeri itu, baru-baru ini.

Meskipun pernah dipenjarakan selama lima tahun ekoran terlibat dalam kes berkaitan dadah, Datuk berusia 59 tahun itu dilihat tidak serik apabila masih meneruskan kegiatan terbabit.

Lebih mengejutkan, sindiket yang aktif sejak September tahun lalu itu dikesan menggunakan kereta mewah bagi mengaburi mata pihak berkuasa ketika membawa bekalan tersebut untuk diseludup keluar.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Zainudin Ahmad berkata, polis kini giat mencari saki-baki ahli sindiket berkenaan termasuk di daerah ini yang dipercayai mempunyai perantara berdasarkan modus operandi mereka menggunakan jalan laut untuk menyeludup keluar dadah.

“Kita percaya kumpulan sindiket ini menjadikan perairan di sekitar pantai barat Johor termasuk di Batu Pahat sebagai lokasi transit untuk membawa keluar dadah berkenaan bagi pasaran ke Indonesia.

“Modus operandi sindiket ini juga adalah dengan membawa bekalan dadah menggunakan kereta mewah bagi mengelak daripada dicekup.

“Soal siasat mendapati, bekalan dadah baru-baru ini dibawa menggunakan kereta jenis Porsche dan mereka sebelum ini turut mengaku pernah membawa bekalan ke Kelantan menggunakan Mustang,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Menurut Zainudin, suspek bersama isterinya bergelar Datin yang berusia 54 tahun antara ditahan termasuk tujuh individu lain berusia lingkungan umur 22 tahun hingga 59 tahun.

Sementara itu, ujar beliau, kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga Rabu ini di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE

×
×