Sembilan syarikat bas terlibat ujian rintis IMBRT - Utusan Malaysia

Sembilan syarikat bas terlibat ujian rintis IMBRT

IMBRT yang akan digunakan bagi ujian rintis selama tiga bulan mulai Khamis ini bagi jarak sejauh empat kilometer di Iskandar Puteri, Johor. -UTUSAN/ RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ujian rintis Iskandar Malaysia Bas Rapid Transit (IMBRT) selama tiga bulan mampu memberi nilai tambah kepada sistem pengangkutan negara, selain menjadi penyelesaian kepada pengangkutan awam yang mesra alam serta meningkatkan kualiti hidup komuniti di Iskandar Malaysia.

Pengarah IMBRT, Rudyanto Azhar berkata, ujian mulai Khamis ini yang akan dilancarkan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad adalah bagi jarak sejauh empat kilometer dari Anjung, Medini, Lebuhraya Sultan Iskandar sehingga Horizon Hills.

Katanya, ujian rintis itu juga bertujuan menguji laluan sebenar sekali gus menentukan jenis bas yang bersesuaian di sekitar kawasan Iskandar Malaysia.

Beliau berkata, sembilan syarikat pengeluar bas tempatan dan luar negara terlibat untuk demonstrasi kenderaan menggunakan teknologi hijau yang terkini termasuk bas elektrik dan biodiesel.

“Syarikat pengeluar bas yang terlibat dalam ujian rintis ini juga akan menggunakan teknologi hijau sepenuhnya, bekalan tenaga elektrik serta reka bentuk bas yang futuristik.

“Operasi IMBRT dijangka bermula dua tahun lagi iaitu pada 2023 sekali gus mengubah landskap pengangkutan Johor dan negara dalam menyediakan kemudahan bas yang sistematik,” katanya dalam sesi penerangan, di sini hari ini.

Selepas sesi penerangan tersebut, pengamal media turut dibawa menaiki bas elektrik jenama Scania dan juga bas keluaran Mobilus Sdn. Bhd. yang mempunyai reka bentuk sama seperti Transit Aliran Ringan (LRT), sebelum dibawa melihat cara bas itu dicas di depoh bas Iskandar Puteri selain menaiki bas Mobilus.

Bulan lalu, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim berkata, program rintis IMBRT itu penting bagi menentukan sistem serta kecekapan perkhidmatan berkenaan serta membolehkan pengawal selia memberikan keputusan akhir.

IMBRT akan menyediakan 55 perkhidmatan penghantar dan 44 perkhidmatan terus, menjadikan liputan rangkaian keseluruhan seluas 2,043 kilometer atau hampir 90 peratus daripada kawasan berpenduduk di Iskandar Malaysia.

Tiga laluan utama bagi IMBRT adalah Skudai, Tebrau dan Iskandar Puteri.

Projek itu merangkumi 33 stesen, dengan satu hab di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Laluan Skudai.

Laluan utama akan mempunyai dua stesen akhir iaitu di Desa Jaya melalui Laluan Tebrau dan di Anjung menerusi Laluan Iskandar Puteri. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya