Saman keluarga model Belanda dibatal - Utusan Malaysia

Saman keluarga model Belanda dibatal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini membatalkan saman yang difailkan oleh keluarga model Belanda, Ivana Esther Robert Smit terhadap Kerajaan Malaysia dan pasukan polis yang didakwa melanggar kewajipan statutori dan cuai dalam siasatan kematiannya.

Hakim Akhtar Tahir membatalkan saman itu atas alasan pernyataan tuntutan yang difailkan oleh keluarga mendiang tidak mematuhi Aturan 18 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Peguam Datuk S.N. Nair memaklumkan demikian kepada pihak media selepas sesi pengurusan kes yang dijalankan secara dalam talian.

Ibu Smit, Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen memfailkan saman itu tahun lalu dengan menamakan Kerajaan Malaysia, Ketua Polis Negara dan pegawai penyiasat, Faizal Abdullah sebagai defendan-defendan atas dakwaan gagal memastikan punca kematian anaknya.

Model berusia 18 tahun itu ditemukan mati di aras enam CapSquare Residence di sini pada 7 Disember 2017, selepas jatuh dari tingkat 20 unit kondominium milik pasangan dari Amerika, Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.

Verstappen berkata, beliau dimaklumkan mengenai kematian anaknya pada atau sekitar petang 7 Disember 2017, dan terbang ke Kuala Lumpur dari Belanda untuk mengesahkan serta menyiasatnya.

Sebaik tiba di Malaysia, Verstappen berkata defendan memintanya mengenal pasti mangsa di rumah mayat Hospital Kuala Lumpur.

Katanya, beliau turut dimaklumkan defendan dan seseorang bernama Sarjan Haliza (pegawai penyiasat pertama) bahawa mayat bogel anaknya telah ditemui di balkoni kondominium di tingkat enam, akibat membunuh diri.

Tambahnya, defendan membuat laporan kematian mengejut (SDR) pada tarikh sama dan terus menutup kes itu selepas sebab kematian diklasifikasikan sebagai semulajadi atau bunuh diri.

Verstappen berkata beliau tidak dapat menerima perkara itu kerana menganggapnya `sukar dipercayai, mustahil, dan luar biasa, selain terkejut dan tergamam bahawa defendan sekadar membuat SDR’.

Beliau berkata, defendan jelas melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) dan amalan terbaik dalam siasatan polis.

Inkues diadakan pada 2018 untuk memastikan punca kematian Smit yang mana Mahkamah Koroner kemudian memutuskan adalah akibat nahas.

Bagaimanapun, dalam semakan keputusan itu, Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah mengetepikan keputusan Mahkamah Koroner dan memutuskan kematian Smit diakibatkan ‘individu dikenali atau tidak dikenali.’

Mahkamah turut memerintahkan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengarahkan polis supaya terus menyiasat kematian itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya