RM1.5 juta sagu hati bantu 2,500 peniaga bazar di Kelantan - Utusan Malaysia

RM1.5 juta sagu hati bantu 2,500 peniaga bazar di Kelantan

DR IZANI HUSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan bersetuju menyalurkan wang sagu hati sebanyak RM1.5 juta kepada 2,500 peniaga yang terjejas ekoran penutupan bazar Ramadan dan Aidilfitri.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin berkata, kerajaan negeri juga akan memulangkan semula wang deposit yang dibayar peniaga melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam masa terdekat.

“Jumlah 2,500 orang peniaga ini merupakan peniaga yang berdaftar dengan semua PBT di seluruh negeri Kelantan. Pengumuman lanjut akan dimaklumkan kelak.

“Jadi, kesemua mereka akan diberikan wang sagu hati memandangkan kebanyakan punca pendapatan peniaga terbabit adalah melalui jualan di bazar Ramadan,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Mengikut pengiraan, daripada jumlah sagu hati RM1.5 juta itu, 2,500 peniaga terbabit akan menerima sebanyak RM600 setiap seorang.

Kerajaan Kelantan membuat keputusan membatalkan semua bazar Ramadan dan bazar Aildilfitri di seluruh negeri pada tahun ini berikutan peningkatan kes Covid-19 sejak beberapa hari lepas.

Kesan daripada pembatalan itu menyebabkan ribuan peniaga kecil di bazar Ramadan di 11 jajahan di negeri itu terpaksa menanggung kerugian selain kehilangan sumber pendapatan.

Mengulas lanjut, menurut Dr. Izani, beliau berharap bantuan sagu hati itu akan membantu peniaga dan meringankan beban mereka terutamanya yang telah mengeluarkan modal untuk membeli barangan perniagaan.

Sementara itu, menurutnya, susulan daripada pembatalan bazar Ramadan, kerajaan negeri tidak menyekat aktiviti jualan di kawasan kaki lima dan tepi jalan.

“Kita tegaskan bahawa hanya bazar Ramadan dan Aidilfitri di seluruh negeri ini yang tidak dibenarkan beroperasi. Kita masih benarkan jualan di kawasan lain termasuk premis kedai makan dan jualan colek selepas tarawih.

“Bagaimanapun, peniaga perlu patuh prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Jika ingkar, kita tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan sehingga tidak membenarkan terus aktiviti perniagaan,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya