fbpx

Pulau Pinang harap pekerja kilang, industri diberi keutamaan vaksin Covid-19

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan negeri masih menunggu maklum balas daripada Kerajaan Pusat berhubung gesaan supaya pekerja sektor industri dan perkilangan yang dikategorikan sebagai barisan hadapan ekonomi diberi keutamaan menerima vaksin Covid-19.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya sudah beberapa kali mengutarakan perkara itu dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 dengan Kerajaan Pusat.

Ini kerana, ujar beliau, dalam situasi di negeri ini misalnya, pekerja sektor tersebut ketika ini menyumbang kepada kes positif harian yang tinggi dengan 10 kluster sektor berkenaan masih aktif.

Tambah beliau, kluster dari sektor itu serta beberapa kluster lain seperti depot tahanan dan pendidikan menyebabkan kes-kes positif di negeri ini kekal dalam purata 120 hingga 150 kes sehari.

“Namun setakat ini kita diberitahu situasi jangkitan Covid-19 di negeri ini masih terkawal kerana kes tidak melonjak daripada antara 120 hingga 150 kes sehari.

“Bagaimanapun, dalam mesyuarat dengan Kerajaan Pusat kita sentiasa memberi penekanan untuk melihat usaha-usaha yang boleh diambil supaya kluster kilang khususnya tidak mencatatkan lebih banyak kes positif,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Kon Yeow, meskipun majoriti pekerja kilang dan industri itu adalah warga asing, pemberian vaksin tidak boleh memisahkan antara mereka dengan rakyat tempatan.

Apatah lagi, jelasnya, jumlah pekerja asing dalam sektor berkenaan adalah besar selain mereka juga adalah golongan berisiko tinggi memandangkan terdapat 10 kluster kilang yang aktif ketika ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, setakat ini seramai 105,066 atau 70 peratus daripada kira-kira 140,000 pekerja asing di negeri ini sudah menjalani saringan Covid-19 menerusi ujian massa yang diwajibkan kepada kumpulan tersebut.

“Daripada jumlah itu seramai 4,352 atau 4.14 peratus daripada mereka didapati positif Covid-19 dan majikan digesa supaya menjalankan ujian saringan massa ke atas pekerja asing masih berbaki 30 peratus yang sepatutnya sudah diselesaikan,” katanya.

Mengulas mengenai pemberian suntikan vaksin pula, katanya, seramai 29,334 individu barisan hadapan di negeri ini melengkapkan dua dos manakala 36,982 orang sudah menerima suntikan pertama masing-masing setakat ini. – UTUSAN ONLINE

×
×