Port Dickson `port' baik sang penyu - Utusan Malaysia

Port Dickson `port’ baik sang penyu

BAKRI Sawir (tengah) dan Halimi (kiri) melepaskan sebahagian daripada penyu dalam Program Pemuliharaan Biodiversiti Marin di Pantai Tanjung Biru, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Penyu menjadikan Port Dickson sebagai `port’ yang sesuai untuk bertelur berdasarkan kepada populasinya yang meningkat di pantai peranginan tersebut.

Perkara itu disahkan oleh Jabatan Perikanan Negeri Sembilan yang mendapati sebanyak 550 biji telur penyu telah ditemukan sepanjang pantai Port Dickson tahun ini.

Pengarah jabatan tersebut, Halimi Abu Hanip berkata, kesemua telur penyu tersebut ditemukan di tujuh sarang di beberapa kawasan pantai di daerah ini yang merupakan tumpuan untuk penyu jenis agar dan karah mendarat.

“Ramai tidak tahu populasi penyu agak baik di sini (Port Dickson) dan kami di Jabatan Perikanan sentiasa buat program pemuliharaaan.

“Telur-telur penyu ini kami ambil dari sarangnya untuk ditetas di Pusat Ikan Hiasan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan di Telok Kemang di sini,” katanya kepada pemberita Program Pemuliharaan Biodiversiti Marin di Pantai Tanjung Biru dekat sini hari ini.

Program tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir.

Menurut Halimi lagi, walaupun jumlah penyu yang mendarat dan telur yang ditemukan adalah kecil berbanding di negeri jiran iaitu Melaka, namun kawasan pantai Port Dickson juga lokasi yang amat baik untuk habitat haiwan tersebut.

“Sepanjang pantai Port Dickson ini, penyu naik bertelur terutama kawasan yang tidak ada pembangunan dan cahaya, ia naik ditempat sunyi dan gelap.

“Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika kurang pengunjung di Port Dickson kami dapati penyu banyak mendarat di pantai untuk bertelur,” katanya yang turut memberitahu sebanyak tiga ekor bangkai penyu turut telah ditemui sepanjang tahun ini.

Sementara itu, katanya, ekoran ketika ini adalah musim untuk penyu naik ke darat untuk bertelur, pihaknya memohon kerjasama daripada orang ramai untuk segera memaklumkan kepada pihak Jabatan Perikanan sekiranya menemui telur-telur penyu.

“Memang sekarang musimnya iaitu bermula Mac lalu dan kemuncaknya pada bulan Mei dan Jun depan. Sehubungan itu jika orang awam menemui telur-telur penyu diharap dapat segera memaklumkan kepada kami.

“Saya juga menasihatkan jika terjumpa penyu yang mendarat untuk bertelur di pantai Port Dickson agar ia tidak diganggu dan telurnya tidak diambil kerana ia merupakan suatu kesalahan di bawah Kaedah-Kaedah Perikanan (Penyu Dan Telur Penyu) 1976,” katanya lagi.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya