PKPD di Kampung Juara, Tioman dilanjutkan - Utusan Malaysia

PKPD di Kampung Juara, Tioman dilanjutkan

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Juara, Pulau Tioman, Pahang dilanjutkan selama 14 hari lagi bermula 7 April sehingga 20 April depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia susulan pihak Kementerian Kesihatan mengesahkan masih ada penularan dalam kalangan penduduknya.

“Sehingga kini, sebanyak 513 ujian saringan dilaksanakan dan daripada jumlah tersebut, 53 kes positif Covid-19 telah pun direkodkan,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Beliau malahan menambah, sejumlah enam kes baharu wabak berkenaan sudah dilaporkan pada semalam di perkampungan pulau peranginan indah itu yang terletak di Daerah Rompin.

Justeru, katanya, setelah dibuat penilaian risiko dengan pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal, kerajaan bersetuju pelaksanaan PKPD disambung selama tempoh dua minggu lagi.

Ini bagi memudahkan Kementerian Kesihatan melaksanakan saringan secara bersasar serta mengawal pergerakan para penduduk dan menghalang penularan wabak dalam komuniti.

“Langkah ini juga memudahkan tindakan kawalan dijalankan dengan cepat dan berkesan serta memudahkan pengesanan awal kes disyaki Covid-19 agar pesakit diasingkan,” katanya.

Sebelum itu, seluruh pulau berkenaan dikenakan PKPD mulai pada 16 Mac sehingga 30 Mac lalu ekoran kemunculan Kluster Kampung Air Batang melibatkan sebuah pusat penginapan.

Bagaimanapun selepas tamat tempoh itu, hanya penduduk di Kampung Juara yang dikenakan lanjutan PKPD selama tujuh hari lagi yang sepatutnya dijadualkan berakhir pada esok. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya