Pengguna lega, peniaga resah - Utusan Malaysia

Pengguna lega, peniaga resah

PENIAGA dan pemborong telur ayam di Pulau Pinang. - UTUSAN/NOOR HASLIZA NUSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pengguna di negeri ini menarik nafas lega berikutan penurunan harga bagi 12 barangan keperluan menerusi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) yang bermula hari ini sehingga 20 Mei depan.

Bagaimanapun, kelegaan itu tidak dirasai sebahagian besar peniaga di pasar awam dan premis perniagaan yang mengeluh dan mendakwa terpaksa menanggung kerugian.

Tinjauan Utusan Malaysia di tiga pasar awam di daerah Barat Daya dan Timur Laut di sini hari ini mendapati semua peniaga akur dengan penetapan harga maksimum bagi peruncit kecuali peniaga daging lembu.

Harga bagi daging lembu tempatan masih dijual pada harga tinggi iaitu sekitar RM38 hingga RM40 sekilogram berbanding yang ditetapkan dalam SHMMP RM34 sekilogram.

Seorang pengguna, Aina Mardhiah Ismail, 38, berkata, pelanggan pasar mula berlapang dada dengan pelaksanaan skim harga maksimum ketika seluruh rakyat terkesan dengan pandemik Covid-19.

Menurutnya, inilah masa terbaik dan paling ditunggu-tunggu rakyat apabila kerajaan melaksanakan SHMMP lebih awal dan dalam tempoh yang lama.

“Kami pengguna juga terkesan dengan kenaikan harga barangan mendadak seperti ayam, daging, ikan, sawi, dan daun bawang apatah lagi berlaku menjelang perayaan Aidilfitri.

“Hari ini, kami berasa lega dengan penurunan harga barangan keperluan terutama ayam sekali gus kami dapat berjimat cermat dalam menyediakan keperluan harian termasuk membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Seorang lagi pengguna, Rizal Ali, 47, pula menggesa kerajaan supaya menyelesaikan segera masalah kenaikan harga daging lembu tempatan ketika peniaga-peniaga barangan kawalan lain terutama ayam mematuhi arahan ditetapkan.

Sementara itu, peniaga ayam, Mohd. Zaini, 50-an memberitahu, mereka terpaksa akur dengan arahan yang dikuatkuasakan kerajaan namun terus dibelenggu keresahan dengan nasib yang bakal dialami selama tempoh 30 hari lagi.

“Mulai hari ini, saya terpaksa mengurangkan kuantiti jualan ayam standard daripada 400 kepada 300 ekor sepanjang bulan ini.

“Ini kerana, kami tidak sanggup menanggung kerugian pada setiap hari walaupun jualan harian habis. Saya terpaksa memikirkan gaji enam pekerja yang dibayar RM70 sehari dan sewa tapak.

“Hari ini sahaja saya rugi RM170. Jumlah ini belum lagi dikira selama tempoh 30 hari akan datang. Jika penternak dapat kurangkan lagi 60 sen bagi harga ayam hidup, sudah tentu pihak pemborong turut sama menurunkan harga ayam kepada kami,” keluhnya.

Bagi peniaga ikan, Shahrul Azhar, 48, pula mendakwa, stok bekalan ikan kembung bersaiz besar yang diperoleh daripada pemborong didapati berkurangan dan terhad.

“Hanya sebilangan kecil peniaga yang berpeluang memperoleh bekalan ikan kembung bersaiz besar hari ini dan hasil laut itu habis dijual seawal pukul 8 pagi.

“Kami harap pihak pemborong tidak mengambil kesempatan dengan pelaksanaan skim tersebut sehingga memberi kesan langsung terhadap bekalan ikan di peringkat peniaga pasar. Ini yang kami bimbang setiap kali menjelang musim perayaan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya