Pendaftaran vaksin di Pulau Pinang perlahan - Utusan Malaysia

Pendaftaran vaksin di Pulau Pinang perlahan

CHOW Kon Yeow dan Dr. Asmayani Khalib menyantuni seorang warga emas yang menerima suntikan vaksin Covid-19 dalam fasa kedua di Kompleks Masyarakat Penyayang, Georgetown, Pulau Pinang. - UTUSAN/MUHAMMAD FIRDAUS AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pendaftaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini masih perlahan walaupun fasa kedua program berkenaan bermula hari ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, setakat kelmarin, jumlah pendaftaran penerima vaksin di negeri ini ialah seramai 619,804 iaitu sekitar 44.8 peratus.

“Sebelum ini saya ingat sudah sampai 50 peratus (pendaftaran vaksin), sebab saya pernah umum kita sudah capai sekitar 40 peratus, tetapi setakat ini kita hanya capai 44.8 peratus.

“Ini menunjukkan jumlah pendaftaran vaksin masih lagi perlahan, kita berharap jumlah pendaftaran akan meningkat ketika fasa kedua program ini dijalankan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat pusat pemberian vaksin Covid-19 Daerah Timur Laut di Kompleks Masyarakat Penyayang di sini hari ini.

Sebelum ini Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, sebanyak 9.4 juta penerima vaksin disasarkan dalam fasa kedua membabitkan golongan berisiko tinggi termasuk warga emas, pesakit kronik, orang kurang upaya (OKU) dan individu mempunyai komorbiditi.

Menurut Kon Yeow, pelaksanaan fasa kedua program PICK itu diharap dapat meningkatkan keyakinan orang ramai untuk mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19.

“Sasaran kita adalah 1.34 juta rakyat negeri ini divaksin dan saya ingin menyeru orang ramai segera mendaftar sebagai penerima vaksin,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, mereka yang telah mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera perlu lebih kerap menyemak tarikh temu janji untuk menerima vaksin berkenaan.

“Ini kerana hampir 30 peratus individu yang telah mendaftar tidak menyemak tarikh temu janji serta tidak mengesahkan kehadiran mereka untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

“Perkara seperti ini juga akan menjejaskan kelancaran program PICK sekiranya perkara wajib seperti mengesahkan kehadiran ini tidak dilakukan oleh mereka yang mendaftar vaksin,” katanya.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Asmayani Khalib pula berkata, Pulau Pinang merupakan antara negeri yang terawal melaksanakan proses pemberian vaksin Covid-19 fasa kedua.

“Dijangka seramai 2,024 warga emas berusia lebih 80 tahun akan menerima vaksin Covid-19 di lima pusat pemberian vaksin di negeri ini.

“Orang ramai tidak perlu bimbang mengenai vaksin Covid-19 kerana selamat untuk semua golongan termasuk warga emas,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya