Pemimpin DAP menempelak kenyataan Ronnie Liu - Utusan Malaysia

Pemimpin DAP menempelak kenyataan Ronnie Liu

HANNAH YEOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Beberapa pemimpin DAP menempelak kenyataan Ahli Jawatankuasa DAP Kebangsaan, Ronnie Liu Tian Khiew kerana mengeluarkan kenyataan bahawa parti tidak boleh dibataskan hanya mendapatkan sokongan orang Melayu.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh misalnya menyifatkan kenyataan Ronnie itu sebagai satu pemikiran toksik dan sempit kerana DAP merupakan parti untuk semua rakyat Malaysia.

Tegasnya, kenyataan itu bukan seperti DAP yang disertai beliau selama ini.

“Ronnie Liu tidak mewakili saya. DAP yang Ronnie mahukan bukan DAP yang saya sertai. Saya sertai DAP kerana parti ini mempertahankan semua rakyat Malaysia.

“Saya tidak setuju dengan ucapan beliau. Apa kah ini budaya parti? Apakah maksud mencairkan kecinaannya? Bukankah ini pemikiran sempit dan toksik?,” soal beliau dalam kenyataan.

Ronnie dalam satu program di Klang semalam memaklumkan parti itu tidak boleh dibataskan hanya untuk mendapatkan sokongan orang Melayu dan tidak perlu mencairkan kecinaannya hanya kerana kritikan daripada musuh politik mereka.

Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek itu, DAP perlu bekerjasama dengan parti-parti Melayu lain tetapi tidak boleh menjatuhkan maruah atau menggambarkan diri sebagai parti bukan Cina.

Dalam pada itu, Setiausaha Publisiti Wanita DAP Johor, Marina Ibrahim berkata, DAP itu adalah hak semua rakyat Malaysia dan bukannya kepada kepada kaum tertentu sahaja.

Tegasnya, Ronnie perlu sedar bahawa orang Cina tidak akan hilang kecinaan hanya kerana makin ramai rakan berbilang bangsa yang masuk dalam DAP seperti mana kaum Melayu yang tidak akan hilang kemelayuan jika teguh berdiri di dalam parti itu.

“Berpuluh tahun kita semua terpisah dengan politik buruk perkauman yang sering dimainkan untuk kepentingan pihak tertentu, kini masanya kita semua berusaha untuk sediakan Malaysia yang lebih baik pada masa akan datang.

“Cina kena fahamkan Cina, Melayu kena fahamkan Melayu, India kena fahamkan India, bukan termakan dengan agenda hasutan pemisahan pihak tertentu. Satu hari kelak apa yang ingin kita capai adalah anak Muthu dan Ah Seng adalah sama seperti anak Ahmad. Anak Muthu anak kita, anak Ah Seng anak kita, anak Ahmad pun anak kita.

“Perpaduan, persefahaman kaum adalah sesuatu yang perlu dididik dan dipupuk bukan melalui pemisahan bangsa. Jika itu berlaku tiada bezanya kita dengan MCA, MIC dan UMNO,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya