Pegawai, anggota polis tidak mengaku salah tuduhan rasuah lindungi penjualan air ketum - Utusan Malaysia

Pegawai, anggota polis tidak mengaku salah tuduhan rasuah lindungi penjualan air ketum

SYED Amir Syed Kamarul Baharim (baju putih) dan Mohamad Faizal Hashim ( baju hitam) ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang atas dakwaan rasuah bagi melindungi aktiviti penjualan air ketum. - UTUSAN/MOHAMMAD FIRDAUS AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Seorang pegawai dan seorang anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, di sini hari ini atas pertuduhan rasuah bagi melindungi kegiatan penjualan air ketum pada 2016.

Tertuduh, Koperal Mohamad Faizal Hashim, 35, mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan manakala Inspektor Syed Amir Syed Kamarul Baharim, 36, yang berdepan satu pertuduhan bersama juga mengaku tidak bersalah.

Mereka membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhar Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Faizal dan Syed Amir secara bersama didakwa meminta suapan iaitu wang tunai RM1,500 daripada ejen provokasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai dorongan untuk melindungi satu kegiatan penjualan air ketum.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka di Restoran Masitah Tomyam, Kepala Batas, di sini kira-kira pukul 8 malam pada 23 Julai 2016.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Sementara itu, menerusi empat pertuduhan berasingan, Mohamad Faizal didakwa secara rasuah memperoleh suapan berjumlah RM3,500 daripada ejen provokasi SPRM sebagai dorongan untuk melindungi satu kegiatan penjualan air ketum.

Mohamad Faizal didakwa melakukan kesalahan itu di Stesen Minyak Petronas Taman Seri Indah, Impian Shafika Seafood dan Kedai Makan Bertam Licious di Kepala Batas serta di Ahmad Seafood, Bukit Mertajam di antara 25 Julai hingga 6 September 2016.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Silvaranjini dan Siti Mastura Zakaria, manakala Mohamad Faizal dan Syed Amir masing-masing diwakili peguam Amrick Singh Sandu dan CP Ang.

Sementara itu, Mohamad Faizal dibenarkan diikat jamin sebanyak RM18,000 dan Syed Amir sebanyak RM10,000 sementara menunggu tarikh sebutan semula kes pada 28 Mei ini untuk serahan dokumen. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya