PATI, kapal berlabuh haram fokus Maritim Malaysia - Utusan Malaysia

PATI, kapal berlabuh haram fokus Maritim Malaysia

NURUL Hizam Zakaria (tengah) ketika mengadakan pemantauan bagi meninjau penguatkuasaan yang dilaksanakan Maritim Malaysia menggunakan kapal KM Perwira di sekitar perairan Johor Timur, Kota Tinggi di Johor. - UTUSAN/MASTURAH SURADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Isu kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan kapal yang berlabuh secara haram di perairan negeri ini menjadi fokus Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor dalam menjaga kedaulatan negara.

Pengarah Maritim Malaysia Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, anggota dan pegawainya akan mengekalkan momentum dengan menjalankan operasi sepanjang Ramadan dan Syawal tahun ini seperti biasa.

Menurutnya, selain dua masalah tersebut, Maritim Malaysia Johor komited mengekang kegiatan penyeludupan dadah melalui jalan laut yang turut menjadi pilihan sindiket di beberapa lokasi.

“Kami masih mengekalkan penugasan melibatkan kira-kira 200 anggota bagi Op Jangkar Haram dan Op Benteng sehingga kini dengan kesemua mereka bertugas secara bergilir-gilir sehingga Hari Raya Aidilfitri ini.

“Selain itu, penugasan tersebut menggerakkan aset melibatkan tiga buah kapal dan empat bot bagi mengawal perairan negeri Johor,” katanya selepas memantau penguatkuasaan yang dilaksanakan pasukan itu sempena Ramadan di sekitar perairan Johor Timur, semalam.

Tambah Nurul Hizam, pihaknya turut memantau menerusi Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) yang turut mengesan beberapa kejadian bagi diambil tindakan sebelum kejadian tidak diingini berlaku.

“Antara yang menjadi keutamaan Maritim Malaysia Johor ketika ini adalah untuk memastikan kawasan perairan Johor Timur bebas daripada kapal yang berlabuh secara haram yang cuba mengelak daripada membayar cukai kepada kerajaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan terdapat satu lagi tangkapan baharu melibatkan kapal yang berlabuh tanpa kebenaran semalam.

Katanya, tangkapan itu menjadikan keseluruhan 55 kapal ditahan menerusi Op Jangkar Haram yang dijalankan sejak 24 Mac lalu.

“Kapal itu ditahan bersama 10 kru kapal warga Indonesia berusia 35 hingga 54 tahun, kira-kira pukul 1.25 petang di kedudukan 14 batu nautika Timur Tanjung Siang Johor.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 491B (1) (L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Seksyen 361 (6) ordinan sama kerana gagal mengemukakan dokumen kebenaran bersauh dan gagal mempamerkan polisi-polisi insurans daripada Jabatan Laut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN