fbpx

Ordinan Darurat tidak diguna langgar hak asasi manusia

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan pelaksanaan Ordinan Darurat yang bertujuan untuk menangani pandemik Covid-19 tidak akan digunakan untuk melanggar hak asasi manusia, soal harta persendirian dan hak undang-undang lain.

Jelas Perdana Menteri, Malaysia mengamalkan prinsip kedaulatan undang-undang dan tidak sesekali melanggar prinsip itu, oleh demikian pihaknya tidak melakukan sesuatu sehingga menghina peraturan negara.

Sehubungan itu, beliau menyeru komuniti perniagaan tempatan dan antarabangsa untuk memahami perkara berkenaan.

“Sejak kebelakangan ini, beberapa kebimbangan timbul ekoran pelaksanaan ordinan darurat seperti diumumkan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat kerajaan saya. Dalam konteks ini, saya ingin menjelaskan bahawa pengisytiharan darurat atas satu alasan sahaja iaitu membendung pandemik Covid-19.

“Satu-satu alasan sebalik pengisyiharan ini adalah berkaitan untuk menyegerakan aspek perundangan yang diperlukan bagi pengurusan pandemik ini.

“Ini merangkumi perkara berkaitan dengan penggunaan aset hospital swasta, pemilikan sementara tanah, bangunan atau harta benda swasta untuk merawat pesakit Covid. Oleh itu, yakinlah bahawa tiada motif jahat sebalik di sebalik pengisytiharan darurat ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perjumpaan Bersama Industri di Dewan Perdana Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kuala Lumpur hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan satu lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh sebaliknya ia dibuat melibatkan lokasi tertentu di kawasan dengan peningkatan mendadak kes penularan pandemik.

“Ini adalah untuk memastikan pandemik ini dikawal, gangguan perniagaan dapat diminimumkan dan kemampanan ekonomi dapat dicapai,” katanya.

Muhyiddin berkata, beliau sebagai Perdana Menteri memberi jaminan bahawa kerajaan akan mempertimbangkan langkah sesuai untuk mencapai menyeimbang antara melindungi nyawa dan kehidupan rakyat terjejas akibat pandemik Covid-19.

Katanya, soal itu termasuk melakukan revitalisasi ekonomi dan mengembalikan pekerja kepada rakyat.

“Oleh itu, saya mengakui dan menghargai peranan signifikan oleh sektor swasta di dalam menyokong kerajaan memerangi Covid-19 sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau dikenali sebagai PKP1.0 dan PKP2.0,” katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri berharap komuniti perniagaan termasuk perseorangan akan terus melaksanakan peranan penting di dalam mengurus dan membendung wabak kerana ia tanggungjawab bersama.

“Justeru, saya sekali lagi menekankan peranan industri adalah penting untuk mencapai matlamat bersama bagi melindungi nyawa dan kehidupan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

×
×