Operasi judi online haram di kedai kopi, dalam kereta - Utusan Malaysia

Operasi judi online haram di kedai kopi, dalam kereta

ANTARA barangan yang dirampas polis dalam serbuan Op Dadu bagi membanteras kegiatan judi online haram di sekitar Butterworth, Pulau Pinang, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Berselindung di sebalik kedai telefon dan kedai kopi selain melakukan aktiviti perjudian dalam talian haram di kawasan lapang serta di dalam kereta.

Namun taktik itu yang digunakan sindiket judi dalam talian haram di sekitar daerah ini gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila seramai 19 individu ditahan polis dalam 12 serbuan di sekitar daerah ini, kelmarin.

Kesemua mereka ditahan menerusi Op Dadu selama tujuh jam bermula pukul 12 tengah hari membabitkan pasukan Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU).

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, individu yang ditahan membabitkan 12 lelaki dan tujuh wanita berusia antara 22 tahun hingga 58 tahun termasuk empat pelanggan.

“Siasatan awal mendapati premis-premis berkenaan pernah diserbu dalam tempoh dua tahun sebelum ini kerana kesalahan sama,” katanya kepada pemberita hari ini.

Noorzainy berkata, dalam serbuan itu, pelbagai barangan dirampas termasuk 14 unit telefon bimbit, alat pencetak (lima), kertas bercetak angka (79), kerusi plastik (dua) serta masing-masing sebuah kalkulator, meja plastik dan kereta jenis Toyota Vios.

“Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM13,581 bagi membantu siasatan selain memotong bekalan elektrik di premis terbabit dengan bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya