Minyak masak botol 5 kg pula dijual mahal - Utusan Malaysia

Minyak masak botol 5 kg pula dijual mahal

Minyak masak yang dibotolkan wajar dimasukkan dalam senarai SHMMP bagi mengurangkan beban pengguna. GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas kecoh kenaikan harga keperluan barangan dapur terutama ayam dan daging baru-baru ini, kini pengguna berdepan pula dengan kenaikan harga minyak masak sehingga melepasi RM30 untuk botol seberat lima kilogram (kg).

Kenaikan itu dikesan bermula awal tahun ini namun semakin ketara ketika menjelang Ramadan dan dijangka berlarutan sepanjang sambutan Aidilfitri.

Ia bermula dari sekitar RM18.70 sebotol dan meningkat kepada RM22.90 sejak dua bulan lalu dan kini di sesetengah kawasan mencecah RM33.50.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Seri Dr. Jacob George berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kenaikan harga minyak masak terutama di Pulau Pinang, Pahang dan Perak.

“Hasil pemantauan, kami mendapati kenaikan berlaku antara tiga sehingga lima peratus iaitu sehingga RM3 sebotol berbanding harga sebelum ini. Apa yang kita sedari, kenaikan berlaku sebaik sahaja masuk bulan Ramadan.

“Kenaikan ini berkemungkinan berlaku akibat pembelian panik melibatkan golongan peniaga serta pembuat kuih yang menerima tempahan menjelang musim perayaan,” katanya semalam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemantau Persatuan Pengguna Negeri Kedah (Cake), Mohd. Fauzi Sharip berkata, pihaknya mendapati kesemua syarikat pengeluar minyak masak dalam botol tersebut menaikkan harga kira-kira RM2.50 sebotol.

“Syarikat-syarikat pengeluar minyak masak dalam botol boleh menaikkan harga sesuka hati kerana ia tidak termasuk dalam Program Skim Rasionalisasi Harga Minyak Masak (COSS),” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia di sebuah pasar raya besar di Alor Setar, Kedah, mendapati, harga minyak masak dalam botol bersaiz lima kilogram dijual antara RM24.89 hingga RM32.25 sebotol.

Di kedai-kedai runcit pula minyak masak tersebut dijual antara RM25 hingga RM33.50 sebotol.

Sementara itu di Georgetown, Pulau Pinang, tinjauan mendapati harga minyak masak botol lima kilogram kini dijual sehingga mencecah RM29 di pasar raya besar.

Seorang pengguna, Aishah Bee Rahim, 38, berkata, harga minyak botol naik mendadak sejak beberapa minggu lalu iaitu sebelum umat Islam menunaikan ibadat puasa.

Menurutnya, harga mengikut jenama minyak masak lima kilogram naik daripada RM22.99 sejak dua bulan lalu mencecah sehingga RM29 ketika ini.

“Kami pengguna turut tersepit dengan isu kenaikan harga barangan keperluan apatah lagi ketika di bulan Ramadan. Belum habis lagi isu ayam dan daging lembu tempatan, kali ini minyak pula,” katanya ketika ditemui di sini.

Seorang peniaga ayam goreng, Rizal Hazril, 46, memberitahu, melihat situasi yang berlaku, dia memilih membeli minyak masak paket daripada botol.

Sebagai peniaga yang banyak menggunakan bahan itu katanya, dia terpaksa beralih kepada minyak paket walaupun sering kehabisan dan hanya boleh dibeli dalam jumlah yang terhad di kedai-kedai.

“Tetapi untuk langkah berjimat-cermat dan mengelak kerugian, saya terpaksa mencari minyak masak paket kerana lebih murah dan berbaloi jika dibandingkan dengan minyak masak botol lima kilogram yang harganya kini mencecah sehingga RM26 hingga RM29,” ujarnya.

Di Batu Gajah, Perak, kenaikan harga minyak masak botol bagi berat lima kilogram pula dijual sehingga RM29 sekali gus membebankan pengguna dan peniaga.

Seorang peniaga, Nur Juliana, 25, berkata, berikutan itu, peniaga runcit sepertinya tidak lagi menerima bekalan minyak masak seperti biasa meskipun mendapat permintaan tinggi daripada pembeli.

“Minggu lalu kami kehabisan stok minyak masak dan kami hanya menerima stok baharu minyak masak pada Rabu lepas.

“Selalunya kami mengambil 30 kotak minyak masak berpaket daripada pembekal tetapi sekarang kami hanya dapat 15 kotak sahaja,” ujarnya.

Seorang peniaga kedai runcit, Nur Hazawani Zabidi, 22, berkata, harga minyak masak yang naik sehingga RM29 bagi botol lima kilogram berbanding RM27.90 sebelum ini membebankan peniaga sepertinya.

“Bagi minyak masak berpaket, kami hanya boleh dapat untung kasar dalam 20 sen sahaja. Berikutan harga minyak masak yang naik, ini menjejaskan perniagaan kami yang perlu membayar bil utiliti seperti sewa, air, elektrik dan upah pekerja,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd. Yusoff Abdul Rahman berkata, pengguna perlu bertindak dengan melaporkan kes berkaitan kenaikan kepada pihak berkuasa dengan kadar segera.

Menurutnya, walaupun minyak masak botol 5 kilogram bukan barang kawalan dan bersubsidi, kenaikan mendadak tidak sepatutnya berlaku pada masa kini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN