Menteri selesai isu lesen memandu Arumugam - Utusan Malaysia

Menteri selesai isu lesen memandu Arumugam

R. PUVANISWARI (dua dari kanan) menerima sumbangan kotak makanan daripada wakil MCA Perak di rumahnya di Kampung Gunung Cheroh, Ipoh, Perak. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tiada yang lebih menggembirakan sebuah keluarga apabila kesulitan hidup yang mereka hadapi bukan sahaja diberi perhatian malah turut dibantu Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.

R. Puvaniswari, 41, iaitu isteri pemandu lori, S. Arumugam, 42, berkata, keprihatinan Ka Siong dalam membantu suaminya memperbaharui lesen memandu yang disenarai hitam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membolehkan lelaki itu memulakan pekerjaan di sebuah syarikat pengangkutan lori kargo.

Katanya, suaminya dihantar bertugas ke Pelabuhan Kuantan, Pahang Rabu lalu dan berada di sana dalam tempoh beberapa minggu.

“Kami betul-betul lega apabila lesen memandu kompeten (CDL) dan lesen memandu kenderaan barangan (GDL) suami akhirnya dapat diperbaharui.

“Suami juga sangat gembira dan dia berjanji bekerja bersungguh-sungguh supaya dapat memberikan kehidupan yang lebih baik untuk kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan MCA Perak di rumahnya di Kampung Gunung Cheroh, di sini semalam.

Menurut Puvaniswari, video berdurasi 2 minit 54 saat yang dimuatnaik suaminya di laman sosial baru-baru ini sehingga menarik perhatian Ka Siong dilakukan selepas suaminya kecewa dengan masalah dialaminya.

Katanya, ketika suaminya tidak dapat bekerja, mereka kehabisan wang hingga terpaksa mengikat perut dan meminjam wang daripada adik-beradik dan saudara.

“Walaupun lesen telah disenarai hitam, suami tiada pilihan lain selain meneruskan kerja membawa lori mengangkut muatan demi menyara keluarga.

“Anak-anak masih bersekolah dan kami juga menjaga bapa berusia 71 tahun yang uzur. Jika tidak bekerja, kami tiada wang untuk makan dan belanja sekolah anak-anak,” katanya.

Video memaparkan keluhan Arumugam itu tular dalam media sosial baru-baru ini selepas Ka Siong berkongsi video berkenaan di akaun Facebook miliknya.

Menerusi video tersebut, Arumugam antara lain merayu pihak berkuasa agar tidak menyenarai hitam lesen miliknya bagi membolehkan dia bekerja.

Menurut bapa kepada empat anak itu, dia mempunyai banyak saman atas kesalahan membawa lori lebih muatan yang bukan atas kehendaknya tetapi syarikat tempatnya bekerja.

Perkongsian itu menarik perhatian Ka Siong yang kemudian membantu proses memperbaharui lesen Arumugan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya