JOHOR BAHRU: Lelaki yang maut dipercayai dibunuh isterinya dengan sebilah pisau di Kampung Desa Makmur, Majidee di sini dikatakan kerap bergaduh dan berselisih faham sebelum ini.
Ibu mangsa, Samsinar Bujang, 63, berkata, mangsa yang merupakan anak bongsunya, Ruhaizat Rusli, 26, sering dilihat bertengkar dengan isterinya.
Menurutnya, dia sedar dalam kehidupan rumah tangga selisih faham dan pergaduhan itu sudah menjadi lumrah, namun dia tidak menyangka ia akan berakhir dengan tragedi sedemikian.
“Pada kira-kira pukul 6 pagi, saya terdengar suara menantu menjerit meminta tolong, saya yang cemas terus bergegas mengejutkan suami dan anak-anak yang lain.
“Semua bangun dan berlari keluar untuk lihat apa yang berlaku sebelum mendapati anak saya sudah terbaring berlumuran darah di atas jalan.
“Abangnya terus memangku Ruhaizat dalam keadaan tercungap-cungap menahan kesakitan. Pada masa itu kelihatan beberapa kesan kelar di bahagian leher, dada serta beberapa kesan luka di tangan,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.
Kediaman tersebut dihuni mereka sekeluarga melibatkan seramai lapan orang, termasuklah Ruhaizat dan isterinya, beserta seorang anak mereka yang berusia satu tahun tiga bulan.
Tambah Samsinar, abang sulung mangsa, Rudiriadi Rusli, 41, kemudian bergegas membawa Ruhaizat ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) bagi mendapatkan pertolongan.
Terdahulu, seorang lelaki berusia 20-an ditemukan mati dengan kesan kelar di bahagian leher dan satu tikaman di bahagian rusuk kanan di hadapan rumahnya di Kampung Desa Makmur, Majidee, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan kejadian tersebut pada 8.25 pagi.
Katanya, hasil pemeriksaan di tempat kejadian pihak polis telah menjumpai sebilah pisau pemotong kertas dan serpihan mata pisau di tempat kejadian.
“Pihak polis telah menahan seorang wanita tempatan berumur 30-an iaitu isteri kepada mangsa bagi membantu siasatan. Kes diklasifikasi di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan sehingga laporan bedah siasat diperolehi.
“Soal siasat lanjut akan dijalankan bagi mengetahui punca serta motif kejadian. Saksi-saksi bebas akan dikesan bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, pihak hospital akan menjalankan bedah siasat esok bagi mengetahui punca-punca kematian.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi terus Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di talian hotline 07-2182323,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










