Mangsa bot karam trauma, serik turun ke laut - Utusan Malaysia

Mangsa bot karam trauma, serik turun ke laut

MAT Harun ( kiri) bersama Mat ketika mendapat rawatan di sebuah hospital di Kota Bharu, hari ini.-FOTO IHSAN KELUARGA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Mangsa tragedi bot karam ketika mencandat sotong di perairan Kuala Besar, dekat sini Jumaat lalu serik untuk turun ke laut selepas melalui pengalaman perit berpaut pada kotak selama hampir 19 jam bagi mengelak mati lemas.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mat Harun Mohd. Nor, 55, berkata, selepas berbelas-belas jam dia dan rakannya Mat Awang@Jali, 54, berpaut pada kotak tersebut, mereka mula kehabisan tenaga dan hampir-hampir berputus asa.

“Kawan saya, Mat kelihatan amat letih dan tidak bermaya. Saya berusaha berbual dengan Mat supaya kami sama-sama terus kuat semangat dan berusaha mengharungi ujian Allah taala itu dengan selamat.

“Alhamdulillah, dalam keadaan diri hampir tewas kami nampak sebuah bot pancing dinaiki seorang pemuda dan segera melambai-lambai ke arahnya untuk meminta pertolongan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Akhbar ini hari ini melaporkan dua daripada tiga mangsa yang terlibat dalam kejadian bot karam dibadai ribut di perairan Kuala Besar di sini ditemukan selamat selepas hampir 19 jam terapung di lautan.

Mat dan Mat Harun ditemukan berpaut pada kotak fiber kira-kira pukul 3 petang semalam tidak jauh daripada lokasi bot mereka karam manakala seorang lagi mangsa, Zulshahmin Danial Zulazman, 26, masih belum ditemukan.

Mat Harun dalam pada itu berkata, dia masih trauma dan serik untuk turun ke laut selain mahu melupakan terus aktiviti mencandat sotong yang merupakan hobi mereka tiga sahabat.

Menceritakan detik cemas itu, Mat Harun memberitahu, angin kencang, laut bergelora serta hujan lebat berlaku hampir serentak selepas kira-kira setengah jam mereka selesai berbuka puasa dan solat Maghrib.

“Bot kami dimasuki air dan Zul (Zulshahmin Danial) cuba keluarkannya menggunakan baldi, namun, gagal. Selepas kami bertiga terjun ke laut, saya panggil nama kawan-kawan, tetapi hanya Mat yang menyahut.

“Kami berdua berpaut pada kotak fiber bagi mengelak diri daripada lemas manakala semua tangkapan sotong yang hampir separuh dalam kotak sudah tidak kami hiraukan lagi,” katanya.

Sementara itu, isteri kepada Mat, Rohani Aceh Majid, 49, berkata, suaminya masih dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian dan keadaan lelaki itu beransur pulih.

Ibu kepada Zulshahmin Danial yang masih hilang di laut pula memberitahu dia tidak putus-putus berdoa dan bersedia menerima apa sahaja kemungkinan asalkan anak bongsunya itu ditemukan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya