PETALING JAYA: Kerajaan perlu melihat semula kursus-kursus yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi (IPT) sama ada awam atau swasta yang berisiko menyumbang kepada peningkatan kadar pengangguran.
Antara kursus yang didapati tidak relevan dengan tuntutan semasa adalah sains sosial, sastera, sains tulen dan pengajian Islam yang bersifat tunggal dan umum.
Kursus-kursus ini perlu diadaptasi dan ampuh dengan situasi ‘bencana ekonomi’ atau kemelesetan ekonomi termasuk situasi yang disebabkan ‘bencana kesihatan’ seperti pandemik Covid-19 ketika ini .
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia, Mohd. Azizee Hasan berkata, kursus-kursus tersebut tidak dapat memenuhi keperluan semasa yang juga memerlukan graduan bersifat ‘multitasking’ atau pelbagai kebolehan.
Beliau memberi contoh graduan pengajian Islam yang hanya belajar agama sedangkan mereka juga perlu diberi nilai tambah ‘berkembar’ melibatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), keusahawanan, komunikasi serta kemahiran digital.
Tambahnya, lambakan graduan berlaku dalam pelbagai bidang disebabkan pengeluaran graduan yang tidak seimbang dengan permintaan industri, iklim ekonomi negara yang pasif, kebolehpasaran graduan dan tidak memiliki kemahiran yang diperlukan industri.
“Berlaku banyak lambakan graduan terutama dalam bidang sains sosial dan sastera serta bidang sains fizikal. Negara kekurangan graduan yang mempunyai kemahiran tinggi terutama dalam bidang pekerjaan yang menggunakan kemahiran digital,” katanya.
Menurut beliau, graduan juga seharusnya tidak terlalu memilih pekerjaan dan meningkatkan potensi serta kemahiran diri sesuai dengan kebolehpasaran kerjaya.
“Graduan sebaiknya memilih bidang pengajian yang relevan dengan pekerjaan masa depan. Mereka perlu menyertai skim latihan pekerjaan yang ditawarkan oleh mana-mana agensi serta menceburi bidang keusahawanan digital selain tingkatkan keupayaan bahasa Inggeris dan kemahiran insaniah,” katanya.
Menurut statistik tenaga buruh Jabatan Perangkaan, pengangguran di negara ini meningkat 17.1 peratus kepada 610,500 orang pada Mac tahun lalu sementara statistik www.jobsmalaysia.gov pula menunjukkan 174,327 pemohon pekerjaan adalah dalam kalangan siswazah universiti.
Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Noraini Ahmad sebelum ini, hampir 25 peratus graduan universiti terjejas peluang pekerjaan yang meliputi 75,000 orang daripada 300,000 graduan dan kajian Pengesanan Graduan 2019 mendapati 116,161 graduan perlu diberi latihan kebolehpasaran kerja.
Sementara itu, Felo Akademi Sains Malaysia, Datuk Dr. Madeline Berma berkata, sesetengah kursus yang ditawarkan masih kurang menyumbang kepada pertumbuhan produktiviti negara.
Katanya, wujud ketidaksepadanan antara kursus yang ditawarkan IPT dengan pasaran.
“Apa yang ditawarkan universiti, sebahagiannya tidak diperlukan, berlaku ketidaksepadanan keperluan kerja, jadi sebab itu ia tidak laku,” katanya.
Menurut beliau, selain itu model ekonomi pada masa sekarang kurang berpaksikan ilmu pengetahuan menyebabkan berlakunya pengangguran dalam kalangan graduan.
Katanya, model tersebut menyebabkan negara masih memerlukan tenaga kerja asing walhal tiada masalah pada graduan tempatan jika sektor pekerjaan berdasarkan ilmu yang tinggi..
“Negara perlu beralih kepada ekonomi digital dan Revolusi Industri 4.0 yang memerlukan teknologi tinggi. Pelajar kita tiada masalah kerana mereka ada ilmu dan teknologi. Mereka sudah bersedia tetapi kurang diberi peluang,” katanya.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, tidak wujud soal sesuatu kursus itu relevan atau tidak kerana kursus yang ditawarkan di Malaysia menepati standard ditetapkan.
Katanya, kebolehpasaran seseorang graduan itu bergantung kepada diri mereka sendiri dan bukannya pencapaian akademik sahaja.
“Kalau dahulu boleh kita ukur melalui pencapaian akademik tetapi sekarang pelajar perlu ada kemahiran insaniah dan inisiatif tersendiri,” katanya. – UTUSAN ONLINE










