Khidmat pandu lalu untuk kaki ponteng puasa? - Utusan Malaysia

Khidmat pandu lalu untuk kaki ponteng puasa?

ANGGOTA penguat kuasa JHEAIK memeriksa sebuah rak yang diletakkan minuman dan makanan di tepi sebuah restoran nasi kandar di Jalan Putra, Alor Setar, hari ini. - GAMBAR/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sebuah restoran nasi kandar di Jalan Putra di sini dikesan menyediakan perkhidmatan ‘pandu lalu’ untuk pelanggan kaki ponteng puasa pada bulan Ramadan ini.

Restoran tersebut meletakkan beberapa bungkusan teh o ais dan nasi berlauk ayam goreng di sebuah rak yang diletakkan di tepi restoran tersebut bagi memudahkan pelanggan tetap mengambil minuman dan makanan tersebut.

Taktik restoran itu dikesan oleh anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) pada operasi yang dijalankan di sekitar bandar ini, hari ini.

Ketua Penolong Pengarah Penguat Kuasa JHEAIK, Sheikh Radzi Abdul Muttalib berkata, pintu hadapan restoran itu didapati ditutup, namun di dalam premis itu terdapat seorang pekerja memasak dan membungkus makanan untuk pelanggan yang tidak berpuasa.

Katanya, pemilik restoran itu didapati ingin mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan menjual minuman dan makanan kepada kaki  ponteng puasa.

“Pada serbuan hari ini, anggota penguat kuasa JHEAIK mendapati terdapat sebuah rak di tepi kedai yang diletakkan empat bungkus teh o ais dan beberapa bungkus nasi berlauk ayam.

“Makanan dan minuman itu diletakkan di atas rak itu untuk memudahkan pelanggan yang tidak berpuasa mengambil makanan yang telah siap dibungkus itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan operasi Ramadan di sekitar bandar ini, hari ini.

Seramai 15 anggota penguat kuasa JHEAIK dan lima anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menyertai operasi tersebut.

Operasi tersebut melibatkan empat port yang menjadi tumpuan kaki ponteng puasa pada bulan Ramadan ini.

Bagaimanapun tiada tangkapan terhadap individu yang tidak berpuasa pada operasi itu.

Sheikh Radzi memberitahu, pihaknya mengeluarkan notis kepada pemilik restoran nasi kandar itu untuk hadir ke pejabat agama bagi sesi kaunseling.

Tambahnya, JHEAIK akan meneruskan operasi memburu umat Islam yang tidak berpuasa dan makan di khalayak ramai pada sepanjang Ramadan ini.

“Pada masa sama, saya menasihatkan peniaga Islam yang menjual makanan dan minuman supaya berniaga pada waktu yang benarkan selepas pukul 3 petang.

“Mereka yang tidak berpuasa pula jangan mengambil kesempatan makan di khalayak ramai,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN