Kenapa sedikit sahaja barangan yang dikawal? - Utusan Malaysia

Kenapa sedikit sahaja barangan yang dikawal?

Salahudiin Ayub (dua,kiri)membuat tinjauan harga barang di pasar Chow Kit hari ini- GAMBAR FB Salahuddin Ayub
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berasa hairan dengan tindakan kerajaan dengan hanya menyenaraikan hanya 12 barangan kawalan ketika musim perayaan Aidilfitri.

Menurut Ahli Parlimen Pulai itu, jumlah itu lebih kecil berbanding sewaktu pemerintahan Pakatan Harapan (PH) yang menyenaraikan 22 barang-barang kawalan untuk keselesaan rakyat menyambut hari-hari perayaan utama di negara ini.

Malah katanya, pengumuman barang kawalan itu perlu dibuat dua minggu sebelum dan selepas perayaan supaya tidak membebankan pengguna, peniaga dan pembekal.

“Kenapa hanya 12 barangan sahaja yang dikawal. Kami masa PH dulu senaraikan 22 barang-barang kawalan untuk keselesaan rakyat menyambut hari-hari perayaan utama di negara ini.

“Bantulah yang terbaik untuk rakyat. Menteri-menteri ada kuasa, guna kuasa dengan sebaik-baiknya,” katanya selepas meninjau senarai harga barangan di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur hari ini.

Kelmarin Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengenal pasti sebanyak 12 jenis barangan bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021.

Ia membabitkan barangan harga terkawal terdiri daripada ayam, telur ayam, daging dan hasil laut.

Dalam pada itu, Salahuddin menggesa menteri bertanggung jawab agar selalu turun padang dan membuat tinjauan bagi memantau paras harga barang agar tidak terlalu mahal.

“Saya terima laporan peniaga, mereka dapat barang sudah RM7.50 kos, jadi hanya 30 atau 40 sen saja untung. Perkara ini boleh diperbaiki, sepatutnya sebelum puasa lagi kedua-dua kementerian penting ini (KPDNHEP dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan) mengadakan pertemuan lebih awal dan memanggil semua pembekal utama barang.

“Jadi barulah kita dapat bertukar fakta dan perbandingan serta memberikan pandangan munasabah kepada peniaga supaya margin untuk mereka tidak terlalu kecil, kena ada suasana menang-menang semua pihak,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan rungutan para pengguna dan penjual mengenai kenaikan harga barang basah walaupun umat Islam baru sahaja menjalani ibadah puasa pada minggu lalu.

Misalnya harga ayam meningkat RM9.60 berbanding RM8.60 seminggu sebelum puasa manakala harga daging lembu segar dan daging kerbau beku kekal RM34 dan daging lembu RM21 sekilogram manakala sotong berharga antara RM37 hingga RM44 bergantung pada saiz. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN