KEDAH: Harga ayam boleh cecah RM10 sekilogram - Utusan Malaysia

KEDAH: Harga ayam boleh cecah RM10 sekilogram

SEORANG pelanggan beratur untuk membeli ayam di Pasar Basah Pekan Kuala Nerang hari ini. UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Peniaga ayam di pasar besar di sini tidak menolak kemungkinan harga ayam boleh mencecah lebih RM10 sekilogram pada Ramadan sehingga menjelang musim perayaan Aidilfitri tahun ini.

Kebanyakan peniaga di pasar ini menjual ayam pada harga RM8 hingga RM9 sekilogram pada dua hari sebelum Ramadan lalu.

Seorang peniaga ayam, Syed Zainon Syed Hamid, 63, berkata, dia percaya harga ayam bersih standard akan naik beberapa kali lagi pada Ramadan ini.

Menurutnya, kenaikan harga ayam itu akan berlaku apabila permintaan pengguna semakin meningkat sehingga menjelang musim perayaan.

“Kenaikan mendadak itu berikutan pembekal meletakkan harga ayam yang tinggi menyebabkan peniaga tiada pilihan selain menaikkan harga,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Syed Zainon menambah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) didapati gagal mengawal harga ayam pada Ramadan walaupun masalah yang sama berlaku pada setiap tahun.

“KPDNHEP sepatutnya mempunyai perancangan awal dalam memastikan tidak berlaku kenaikan harga ayam apabila memasuki bulan puasa,” ujarnya.

Seorang lagi peniaga ayam, Abu Hassan Saad, 51, pula berkata, pihak pengguna sering menyalahkan pihak peruncit apabila berlaku kenaikan harga ayam tanpa mengetahui punca sebenar masalah tersebut.

“Peruncit ayam hanya mendapat keuntungan antara 50 sen sehingga RM1 seekor. Hasil keuntungan itulah digunakan untuk membayar gaji pekerja, sewa tapak berniaga dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, peniaga daging, Mohd. Fadli Mohd. Rodzi, 35, berkata, harga daging lembu tempatan juga dijangka melambung melebihi RM40 sekilogram, Ramadan ini.

Menurutnya, kebanyakan peniaga daging di sekitar bandar ini telah menjual daging lembu tempatan pada harga antara RM38 hingga RM40 sekilogram.

“Bagaimanapun peniaga di pasar besar ini masih menjual daging lembu tempatan dengan harga RM32 hingga RM37 sekilogram,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya