SEGAMAT: Perjalanan ulang-alik harian pekerja Malaysia di Singapura yang selesai menerima dua dos vaksin Covid-19 di negara itu masih lagi tidak dapat diputuskan buat masa terdekat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, kementerian perlu mengambil kira beberapa faktor sebelum membuat keputusan membenarkan mereka berulang-alik secara harian di sempadan Malaysia-Singapura.
“Ia melibatkan kerjasama dua negara iaitu Malaysia dan Singapura. Kita masih tidak benarkan rakyat kita melintas negeri buat masa ini. Bagi keperluan rakyat untuk berulang-alik antara dua negara kita perlu tangguhkan dulu keputusan mengenainya.
Berita berkaitan:
”Walaupun ada rakyat Malaysia telah lengkap mendapat dua dos suntikan vaksin di Singapura sejak Februari lalu, kebenaran rentas negara masih perlu diperhalusi bersama pihak Singapura bergantung kepada kes semasa kedua-dua buah negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar semasa Program Malaysia Prihatin Vaksinasi Covid-19 peringkat daerah Segamat di Dewan Muafakat, Taman Yayasan Segamat, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











