PUTRAJAYA: Penguatkuasaan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 adalah khusus bagi menangani maklumat tidak benar berkaitan Covid-19 dan Proklamasi Darurat dalam memastikan kesihatan dan kebajikan rakyat dijaga.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, usaha mencegah penyebaran maklumat palsu bukan bermakna menyekat kebebasan media walaupun Indeks Kebebasan Media 2021 yang dikeluarkan oleh Reporters Without Borders (Reporters Sans Frontiéres, RSF) pada 17 April lalu meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-119.
Katanya, pendirian kerajaan ini juga telah dinyatakan dengan jelas dan mengiktiraf peranan penting para pengamal media dalam menjalankan fungsi dan menunaikan tanggungjawab mereka.
“Ketika kita sedang berjuang menghentikan pandemik Covid-19, kerajaan di serata dunia juga berhadapan dengan cabaran menangani penyebaran maklumat palsu dan memastikan berita serta informasi yang sahih dan tepat disalurkan kepada rakyat.
“Perkara ini amat penting terutamanya bagi usaha menyelamatkan nyawa dan menjaga keselamatan sejagat dalam krisis kesihatan yang melanda ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saifuddin berkata, beliau memberi jaminan kerajaan akan terus menyediakan ruang yang seluas-luasnya kepada pihak media untuk melaporkan berita selari dengan peruntukan yang sedia ada di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, malah sejak sekian lama media di negara ini menjalin usaha sama dengan kerajaan dan sentiasa proaktif membantu menyangkal maklumat palsu.
“Dalam era teknologi maklumat abad ke-21 ini, media bukan sahaja berperanan menyebarkan maklumat yang telus, tetapi juga melindungi masyarakat daripada penularan maklumat palsu yang boleh menggugat kestabilan dan keharmonian negara.
“Kerajaan juga sentiasa bersikap terbuka untuk menerima apa jua pandangan serta maklum balas demi kebaikan yang mengutamakan rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE