PETALING JAYA: Fungsi Unit Penyelarasan Pelaksanaan ICU, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dipersoal kerana ia dilihat menyepi dalam isu rasuah dan salah guna kuasa melibatkan penjawat awam.
Setiausaha Agung Majlis Perundingan Datuk Dr. Hasan Mad berkata, masalah ketirisan atau salah guna kuasa sepatutnya mudah dikesan jika mereka tahu sistem penyampaian awam dan korporat adalah efisyen dan dipantau rapi.
Katanya, jika unit berkenaan dilihat hanya mendiamkan diri tanpa mengatasi masalah itu, ia bermakna ia sudah tidak lagi relevan.
“Turut menjadi persoalan, mengapa agensi penguat kuasa terutamanya pihak berkuasa tempatan, Imigresen, Kastam, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta beberapa agensi lagi masih menikus seolah-seolah mereka tidak berdepan masalah sama.
“Begitu juga dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis-Majlis Agama Islam tidak berbunyi mengenai isu ini. Apakah mereka tiada peranan dalam mentarbiahkan penjawat awam atau korporat disyaki bergelumang dengan dosa atau bersekongkol dengan pengganas penggerak ekonomi hitam?,” soalnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Hasan berkata, agensi kerajaan dan korporat perlu memutihkan setiap kakitangan mereka daripada barah dan gejala rasuah atau dipengaruhi pihak ekonomi hitam yang kini ddapati menguasai hampir semua institusi awam.
Katanya, jika pemutihan tidak berlaku dari dalam agensi, gejala rasuah dan salah guna kuasa tidak mungkin dapat diatasi.
“Diperkasa sehebat mana sekalipun termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga penubuhan mahkamah jenayah rasuah, mana mungkin ia dapat dibanteras.
“Kita wajar memberikan penghormatan kepada PDRM diatas keikhlasannya mengakui 1,540 warganya terlibat jenayah dan salah laku selain ketegasan Ketua Polis Negara (Tan Sri Abdul Hamid Bador) dan beberapa pengarah lain bagi menangani barah ini,” ujarnya.
Utusan Malaysia semalam mendedahkan seramai 1,540 pegawai dan anggota PDRM terlibat dengan pelbagai kesalahan termasuk jenayah, salah laku dan dadah sepanjang tahun lalu.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Zamri Yahya memberitahu, kesalahan itu melibatkan 210 pegawai kanan dan 1,330 anggota.
Antara kesalahan dikenal pasti adalah menyalahgunakan kuasa, terlibat dalam masalah disiplin dan melakukan kelakuan dan melanggar prosedur polis.
Ini termasuk anggota dan pegawai yang didapati berhibur di premis-premis hiburan. – UTUSAN ONLINE










