Ismail Sabri tonggak UMNO dalam PN - Utusan Malaysia

Ismail Sabri tonggak UMNO dalam PN

KAMARUL ZAMAN YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuktikan dirinya layak menjadi tonggak UMNO dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) selaras dengan kedudukan beliau sebagai pemimpin paling senior dalam kerajaan.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, sebagai satu-satunya Menteri Kanan UMNO dalam kerajaan, Ismail Sabri dilihat mampu dan sedang membawa UMNO kembali kepada landasan perjuangan sebenar.

Menurut beliau, keberanian Ismail Sabri menegur cara Perhimpunan Agung UMNO 2020 diadakan, diharap dapat membuka mata ahli-ahli parti di peringkat akar umbi tentang kedudukan semasa UMNO dalam kerajaan.

“UMNO perlu berubah selaras dengan perubahan pantas yang sedang berlaku dalam suasana politik semasa dan Ismail Sabri amat sesuai menjadi pemimpin yang memangkinkan perubahan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam satu rakaman video dalam program Bangkit15 di Pahang baru-baru ini, Ismail Sabri menegur pimpinan tertinggi parti itu.

Menerusi ucapannya, Ismail Sabri berkata, perhimpunan agung parti itu adalah paling teruk dalam sejarah parti apabila paling banyak berlaku ‘tembak-menembak’ sesama sendiri.

Katanya, ucapan penggulungan oleh Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang sepatutnya memberi pesanan kepada seluruh perwakilan untuk memperkukuhkan parti, tidak pula disampaikan secara jitu.

Namun, apa yang menyedihkan menurut Ismail Sabri, Menteri-Menteri UMNO dalam kerajaan ‘ditembak’ teruk, namun DAP dan PKR tidak pula ditembak.

Kamarul Zaman berkata, walaupun kelihatan agak janggal, keberanian Ismail Sabri mengulas mengenainya membuka mata banyak pihak mengenai keperluan UMNO untuk mengadakan pemilihan tahun ini.

Apatah lagi katanya, keperibadian beliau yang tidak diselaputi apa-apa kontroversi serta kepopularan kerana saban hari muncul dalam media massa bagi melaporkan perkembangan terkini penguatkuasaan kawalan Covid-19.

“Ia sekali gus menjadikan beliau tokoh paling sesuai untuk diletakkan sebagai Timbalan Perdana Menteri jika itu difikirkan langkah terbaik untuk menstabilkan politik negara,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya