Ibu maut, anak parah dirempuh kenderaan langgar lampu merah - Utusan Malaysia

Ibu maut, anak parah dirempuh kenderaan langgar lampu merah

KEADAAN kenderaan yang terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan seorang wanita di persimpangan lampu isyarat Temenggong Ahmad, Jalan Pintasan Bandar, Muar di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Wanita maut manakala anaknya parah selepas terlibat dalam nahas membabitkan lima buah kenderaan di persimpangan lampu isyarat Temenggong Ahmad, Jalan Pintasan Bandar, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, dalam kejadian pukul 7.45 pagi itu, mangsa yang juga pemandu Perodua Myvi, Norain Abu Samah, 41, maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan cedera di seluruh anggota badan.

“Polis menerima makluman mengenai kemalangan jalan raya melibatkan lima buah kenderaan iaitu pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, Perodua Myvi, Nissan Grand Livina, Econovan dan sebuah van jenis Toyota Hiace.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati pemandu Toyota Hilux yang datang dari arah Parit Jawa menghala ke Bandar Muar disyaki telah memandu dengan kelajuan tinggi dan tidak berhenti semasa lampu isyarat merah.

“Ekoran itu, kenderaan berkenaan telah merempuh kereta mangsa yang baru bergerak setelah lampu isyarat bertukar hijau dari arah Pintasan Jalan Abdul Rahman. Rempuhan telah menyebabkan kereta Toyota Hilux terbabas dan turut masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar tiga buah kenderaan lain,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Zaharudin, anak mangsa, Nur Nabila Alisha Mohd. Zalisham, 19, turut parah di kepala dan kini dirawat di Zon Merah Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.

“Kenderaan mangsa mengalami kerosakan teruk membabitkan seluruh bahagian hadapan, pintu hadapan kiri dan kanan, pintu belakang kanan, cermin pintu depan dan belakang sebelah kanan.

“Pemandu Toyota Hilux berusia 69 tahun pula cedera di bahagian kepala serta kaki dan kini dirawat di Zon Kuning HPSF. Tiga lagi pemandu tidak mengalami kecederaan.

“Polis telah mengambil sampel darah dan air kencing pemandu Toyota Hilux bagi menjalani saringan ujian alkohol dan dadah,” katanya.

Tambah beliau, ketika kejadian simpang empat lampu isyarat berfungsi dengan baik selain keadaan jalan yang kering dan cuaca baik. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya