Harumanis potensi tinggi eksport ke Eropah - Utusan Malaysia

Harumanis potensi tinggi eksport ke Eropah

MOHD Fasiah meletak tanda pada anak pokok harumanis yang baru ditanam sempena Program Kempen Membalut Buat Harumanis Perlis Bagi Musim Pengeluaran 2021 di Ladang Harumanis Usahawan Zainol Abidin Ahmad di Kampung Simpang Geti, Mata Ayer, Perlis hari ini.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU : Harumanis dilihat boleh mengantikan tanaman di kawasan sawah padi di negeri ini jika produktiviti buah berkenaan lebih baik sehingga membolehkan pengusaha meneroka peluang pasaran eksport.

Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh berkata, harumanis lebih berpotensi berbanding perusahaan sawah padi yang agak menurun dan untuk masa akan datang, tidak mustahil petani boleh beralih kepada tanaman harumanis untuk tujuan dieksport ke luar negara.

Malah, beliau juga percaya Perlis yang mempunyai tanah masih luas dan biologi tanah pertanian serta cuaca yang sesuai bagi produktiviti pengeluaran harumanis, berupaya memperluaskan lagi pengeluaran buah itu.

Katanya, harumanis mempunyai potensi yang tinggi untuk pasaran eksport, namun, usaha itu terhalang bagi memenuhi permintaan dalam negara yang terhad.

“Modenisasi dan memandang ke arah global diperlukan supaya buah ikonik Perlis itu dapat terkenal serta dinikmati oleh masyarakat antarabangsa.

“Kementerian Pertanian dan Industri Makanan mungkin dapat melihat lebih lanjut berhubung potensi yang ada pada harumanis. Saya yakin tanah masih luas untuk menambah tanaman ini.

“Kalau produktiviti sawah padi adalah menurun dan tidak tinggi, maka kita tanam harumanis yang mungkin boleh dieksport ke luar negara,” katanya ketika ditemui pada Program Kempen Membalut Buat Harumanis Perlis Bagi Musim Pengeluaran 2021 di Ladang Harumanis Usahawan Zainol Abidin Ahmad di Kampung Simpang Geti, Mata Ayer di sini hari ini.

Sementara itu, beliau memberitahu, pihaknya menyasarkan harumanis akan menembusi pasaran eksport dalam masa tiga hingga empat tahun lagi.

Menurutnya, antara pasaran yang disasarkan adalah Eropah, Jepun, Asia Barat dan Afrika yang merupakan negara-negara yang tidak boleh menghasilkan buah mempelam dengan baik.

“Kita akan berbincang dengan pihak kementerian kerana ada agensi di bawahnya seperti Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang akan mengkaji mengenai kualiti dan jenis buah yang sesuai untuk pasaran eskport.

“Kalau mahu eskport, kita harus memastikan kualiti yang terbaik, buah yang cantik dan juga manis,” ujarnya.

Tambah beliau, FAMA dijangka memasarkan 50 tan metrik buah harumanis pada tahun ini berbanding 23 tan metrik pada tahun sebelumnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya