PUTRAJAYA: Tiada kajian semula berhubung harga siling kesemua 12 item di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 kerana ia telah dipersetujui pihak berkepentingan seperti pemain industri dan kementerian berkaitan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ini termasuk mengubah harga siling daging tempatan walaupun terdapat desakan sesetengah pengusaha bahan mentah itu yang mahu harga siling dikaji semula.
Dalam hal itu, beliau meminta semua pihak tidak mempolitikkan perkara itu kerana penetapan harga skim berkenaan bukan mahu menganiaya mana-mana pihak, malah mengambil kira kepentingan pengguna dan peniaga.
“Buat masa sekarang saya belum nak buat perubahan (harga siling). Saya berharap semua pihak jangan mempolitikkan hal ini. Kita nak jaga semua bukan nak menganiaya mana-mana pihak. Kami jaga pengguna dan peniaga juga.
“Kerajaan juga hanya menetapkan harga siling untuk bahagian tertentu daging dan bukan keseluruhan lembu, jadi peniaga bebas untuk menjual bahagian lain lembu pada harga yang difikirkan sesuai,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan pematuhan peniaga sempena SHMMP 2021 di MyFarm Outlet Presint 9, di sini hari ini.
Alexander pada masa sama menafikan harga maksimum daging ayam tempatan yang ditetapkan pihaknya seolah-olah mahu membunuh peniaga.
Beliau menjelaskan, harga ayam dan telur telah ditetapkan daripada peringkat ladang dan tidak sepatutnya peniaga atau peruncit berdepan dengan masalah harga tinggi apabila membeli daripada pemborong.
“Di seluruh negara, 12 item dalam SHMMP 2021, dari runcit ke borong mesti ikut harga yang kami tetapkan di setiap peringkat.
“Sebab itu, peruncit ini tak sepatutnya kehilangan margin atau keuntungan mereka kerana kami dah teliti dengan mendalam dan pastikan peniaga tidak sepatutnya terjejas,” katanya.
Sementara itu, Alexander berkata, bekalan ayam segar di seluruh negara dijamin mencukupi selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri berdasarkan perbincangan dengan beberapa pengusaha ayam terbesar yang diadakan sebelum ini.
Beliau berkata, memandangkan bekalan ayam mencukupi, jadi tiada alasan bagi pengusaha dan peniaga untuk tidak mematuhi harga ayam yang ditetapkan dalam SHMMP 2021 yang berkuat kuasa semalam sehingga 20 Mei ini.
Menurutnya, untuk peringkat awal, KPDNHEP akan terus memberi nasihat kepada para peniaga supaya mematuhi skim yang ditetapkan.
“Jika mereka masih berdegil, tindakan atas kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum akan dikenakan,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan sebahagian besar peniaga di seluruh negara ingkar untuk mematuhi harga bahan mentah terutamanya ayam dan daging mengikut (SHMMP) 2021 berkuat kuasa semalam.
Tinjauan di pasar-pasar utama mendapati ayam standard dijual pada harga sebelum ini RM9 sekilogram berbanding harga siling RM7.90 sekilogram, manakala daging lembu tempatan RM40 sekilogram berbanding harga SHMMP yang disyorkan RM34.
Para peniaga memberi alasan tidak mempunyai pilihan selain mengekalkan kos lama bagi mengelak menanggung kerugian kerana masih dikenakan harga tinggi oleh pembekal walaupun menyedari tindakan itu boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan.- UTUSAN ONLINE










