Gajah liar pijak mati lembu berjaya ditangkap Perhilitan

Gajah liar pijak mati lembu ditangkap

GAJAH jantan liar yang berjaya ditangkap Perhilitan Kelantan di Kampung Subong, Gua Musang, Kelantan hari ini. - IHSAN PERHILITAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Gajah jantan liar yang mengamuk dan memijak dua ekor lembu ternakan hingga mati selain merosakkan tanaman di kebun penduduk Kampung Subong, di sini minggu lalu berjaya ditangkap hari ini.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, gajah bergading lengkap dengan ukuran tapak kaki 33 sentimeter ditangkap di kawasan kebun kira-kira pukul 1 petang.

Katanya, gajah itu dianggarkan berusia antara 15-20 tahun dan berasal dari kawasan Hutan Simpan Nenggiri yang terletak berdekatan kampung itu.

“Lapan anggota Perhilitan Kelantan bertindak melakukan pemantauan selepas menerima aduan penduduk mengenai seekor gajah yang berkeliaran dan merosakkan tanaman di kebun mereka.

“Hasil pemantauan mendapati gajah liar berkenaan adalah gajah sama yang mengganggu penduduk di Kampung Kundur dan Panggong Lalat pada Mac lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ady Ermanty Haniff berkata, kejayaan Perhilitan Kelantan melegakan pekebun di tiga kampung itu kerana dapat mengelak kerugian berterusan akibat kematian haiwan ternakan dan kemusnahan tanaman angkara gajah itu.

Katanya, operasi pemindahan haiwan tersebut akan dilakukan dalam masa terdekat dengan bantuan kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Lanchang, Pahang.

“Penduduk dinasihatkan memastikan kebun sentiasa bersih dan jangan mengambil tindakan sendiri. Sekiranya terserempak dengan hidupan liar, segera hubungi talian hotline Jabatan Perhilitan, 1800-88-5151 untuk tindakan lanjut,” katanya.

Pada 3 April lalu, akhbar ini melaporkan 30 pekebun di Kampung Subong di sini takut untuk keluar ke kebun selepas seekor gajah jantan liar dipercayai mengamuk dan memijak dua ekor lembu ternakan hingga mati.

Kehadiran gajah itu menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian hampir puluhan ribu ringgit apabila lebih 300 batang pokok pisang dan getah dimusnahkan haiwan itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya