Elak wujud kluster bazar Ramadan - Utusan Malaysia

Elak wujud kluster bazar Ramadan

NOOR Azmi Ghazali (tiga,kanan) merasmikan Program Malaysia Prihatin di Bagan Serai hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Pengunjung diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelak wujudnya kluster bazar Ramadan wabak Covid-19 apabila umat Islam mula berpuasa esok.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, kerajaan yakin selama ini rakyat menjaga dan mematuhi SOP dan mampu mengelak tercetusnya kluster baharu wabak berkenaan ketika membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan.

“Apa yang dibimbangkan ialah segelintir daripada pengunjung mungkin alpa untuk mengamalkan SOP disebabkan keterujaan semasa berada di bazar Ramadan.

“Saya amat berharap peniaga dan pelanggan mengekalkan pematuhan SOP terutamanya memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal semasa di bazar Ramadan.

“Kita tidak mahu wujud kluster bazar Ramadan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Malaysia Prihatin bersama Jawatankuasa Masjid dan Sumbangan Ihya Ramadan Parlimen Bagan Serai di Dewan Komuniti di sini hari ini.

Sementara itu, Noor Azmi berkata, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan tetap akan diteruskan di sepanjang bulan Ramadan.

Menurutnya, imunisasi suntikan vaksin tetap dijalankan seperti yang telah dijadualkan kepada penerima yang telah mendaftar menerusi berbagai platform termasuk di aplikasi MySejahtera.

Menurutnya, tiada sebarang perubahan kecuali masa pemberian suntikan yang akan tamat pada sebelah petang di sepanjang Ramadan.

“Sepanjang Ramadan, suntikan vaksin hanya diberikan sehingga waktu petang sahaja.

“Secara peribadi saya berpandangan jika suntikan dijalankan pada sebelah malam semasa Ramadan, kemungkin ramai yang tidak dapat hadir kerana secara umumnya bagi yang beragama Islam, sebelah malam adalah masa untuk melakukan amal ibadat.

“Oleh itu, orang Islam yang telah mendaftar boleh memilih waktu yang sesuai sepanjang Ramadan untuk menerima suntikan vaksin seperti yang terdapat dalam aplikasi MySejahtera agar aktiviti ibadah mereka tidak terganggu,” katanya.

Menurut Noor Azmi, jika semua penerima vaksin dapat mengikut ketetapan masa sebagaimana yang telah ditetapkan, 70 hingga 80 peratus penerima bakal melengkapkan suntikan vaksin sehingga akhir tahun ini.

Katanya, bagi penduduk di kawasan pedalaman seperti di Bario, Sarawak dan Orang Asli, vaksin CanSino dengan satu dos suntikan akan digunakan.

“Cuma yang membimbangkan ialah suntikan vaksin kepada warga asing terutama pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tidak berani tampil untuk mendapatkan suntikan vaksin.

“Kita berharap kerajaan mempunyai kaedah menyelesaikan perkara ini agar suntikan vaksin dapat diberikan kepada mereka seperti mengadakan program pengampunan sementara bagi membolehkan mereka tampil menerima suntikan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya