Eddin Syazlee berhasrat pertahan Parlimen Kuala Pilah - Utusan Malaysia

Eddin Syazlee berhasrat pertahan Parlimen Kuala Pilah

EDDIN Syazlee Shith (kanan) dan Shahnon menyempurnakan perasmian Program Malaysia Prihatin dan Taklimat Isu-isu Semasa di Kompleks Rakan Muda Kuala Pilah, Kuala Pilah hari ini.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan, Datuk Eddin Syazlee Shith berhasrat mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Pilah yang disandangnya ketika ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ujarnya, walaupun UMNO juga mahu bertanding di kerusi tersebut, beliau tetap akan mempertahankan kerusi berkenaan yang merupakan satu-satunya kerusi yang dimenangi parti berkenaan semasa pilihan raya umum yang lalu.

“Hari ini, ada perbincangan dengan Bersatu dan Pas mengenai pembahagian kerusi bagi menghadapi PRU-15, sebelum ini, sudah ada perbincangan yang menjurus ke arah itu, agihan tiada masalah. Di Negeri Sembilan juga tiada masalah, kita serahkan kepada pucuk pimpinan, kita sudahpun mencadangkan, Pas juga ada memberikan cadangan, kita akur dengan sebarang ketetapan asalkan kita jangan bergaduh.

“Saya mestilah, saya akan mempertahankan apa yang ada (Parlimen Kuala Pilah). Kita akan tetap fokus. Tidak kisah, siapa pun lawan kita, kita akan bersedia,” katanya kepada pemberita selepas hadir menyempurnakan Program Malaysia Prihatin dan Taklimat Isu-isu Semasa di Kompleks Rakan Muda Kuala Pilah dekat sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah Jabatan Penerangan negeri, Shahnon Mohamad.

Berkata kepada Utusan Malaysia sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan di Negeri Sembilan beliau berkeyakinan UMNO boleh merampas kembali kerusi Parlimen Kuala Pilah dan Tampin.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, Eddin Syazlee yang ketika itu bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) menang bagi kerusi Parlimen Kuala Pilah dengan memperoleh jumlah undi sebanyak 18,045 menewaskan penyandang, Datuk Hasan Malek daripada Barisan Nasional (BN) yang memperoleh 17,845 undi, perbezaan hanya sebanyak 200 undi.

Sementara itu, ketika ditanya situasi politik semasa termasuk hubungan di antara Bersatu dan UMNO, Eddin Syazlee yang juga Pengerusi Badan Perhubungan PN Negeri Sembilan tetap positif dan yakin terdapat jalan keluar dalam kemelut tersebut.

“Saya sangat positif pada akhirnya esok akan ada jalan keluar yang terbaik untuk penyatuan orang Melayu, maksud saya orang Melayu akan dapat bersatu di bawah satu naungan atau wadah perjuangan yang sama yang boleh bertolak ansur.

“Saya mengharapkan yang terbaik untuk orang Melayu jangan kita bergaduh, sama-sama rugu buat apa, tapi kalau mahu juga (pertandingan tiga penjuru) sama-sama lah kita jalan,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya