PERLIS: Dedak mahal, punca harga ayam naik? - Utusan Malaysia

PERLIS: Dedak mahal, punca harga ayam naik?

PENIAGA ayam, Ku Rusmiza Ku Desa, 40, menunjukkan resit harga ayam daripada pembekal kepada anggota penguat kuasaan PPDNHEP Perlis di Pasar Besar Arau, Perlis hari ini.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Harga barang basah khususnya ayam segar, sotong dan sawi sejak awal bulan lalu sehingga memasuki Ramadan didapati mengalami kenaikan mendadak di negeri ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di Pasar Besar Arau di sini mendapati, ayam segar dijual pada harga RM8.20 sekilogram berbanding RM7.90 pada bulan lalu manakala sotong bersaiz sederhana pula naik RM5 sekilogram iaitu daripada RM20 minggu lalu kepada RM25 ketika ini.

Harga sawi dari Cameron Highlands pula meningkat cukup ketara sehingga 90 peratus sejak awal tahun iaitu daripada RM10 sebakul membabitkan berat kira-kira 10 kilogram meningkat kepada RM90.

Seorang peniaga ayam, Ku Rusmiza Ku Desa, 40, berkata, harga ayam didapati meningkat sebanyak empat kali sejak awal bulan ini.

“Harga ayam pada Ramadan kali ini memang agak meningkat berbanding tahun lepas. Kalau tahun lepas harga adalah sekitar RM7 sekilogram.

“Memang ada juga peniaga makanan merungut dengan kenaikan harga ayam tetapi mereka tiada pilihan lain dan terpaksa beli juga. Saya pun tidak tahu kenapa, mungkin harga dedak naik menyebabkan pembekal menaikkan harga pada kami,” katanya.

Seorang peniaga sayur, Marzita Othman, 40, pula berkata, dia terpaksa mengambil bekalan sawi dari Thailand berikutan sawi Cameron Highlands mengalami kenaikan cukup tinggi.

“Oleh kerana harga yang terlalu mahal, saya memilih untuk mengambil sawi dari Thailand iaitu RM50 untuk 10 kilogram. Sawi ini kemudian dijual pada harga RM8 sekilogram kepada pelanggan,” katanya.

Peniaga ikan, Rizal Ali, 48, berkata, harga ikan agak stabil, cuma terdapat sedikit kenaikan bagi sotong bersaiz sederhana kecil iaitu RM25 sekilogram berbanding RM20 sekilogram kira-kira seminggu lalu.

“Kebiasaan memang akan ada kenaikan harga menjelang Ramadan dan minggu pertama puasa, namun selepas itu harga turun balik sebelum meningkat kembali secara mendadak menjelang Aidilfitri,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Norazah Jaapar memberitahu, terdapat peningkatan harga bagi ayam segar standard iaitu dari RM7.70 sekilogram kepada RM8.50 iaitu melibatkan kenaikan 6.25 peratus.

Katanya, sayur-sayuran seperti sawi terdapat kenaikan RM1 daripada RM6 kepada RM7 sekilogram.

“Sotong pula mencatatkan kenaikan harga sehingga 40 peratus iaitu RM35 sekilogram berbanding biasa RM25 sekilogram.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kenaikan harga disebabkan berlakunya permintaan tinggi terhadap sayur sawi dan sotong selain terdapat kekurangan bekalan daripada pengedar dan pembekal. Peningkatan harga bagi ayam segar standard pula disebabkan harga yang diperoleh oleh peruncit daripada pembekal ayam segar agak tinggi,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya