Data, laporan analisis kes harian Covid-19 sahih - Utusan Malaysia

Data, laporan analisis kes harian Covid-19 sahih

ADHAM BABA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua data kes Covid-19 dan laporan analisis harian yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan adalah sahih, tepat dan telah disahkan di pelbagai peringkat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, data-data Covid-19 di negara ini dikendalikan mengikut prosedur-prosedur tertentu bagi memastikan data yang dilaporkan adalah tepat dan sahih.

“Semua keputusan ujian yang dijalankan sama ada di klinik kesihatan kerajaan, hospital mahupun fasiliti perkhidmatan kesihatan swasta adalah wajib dimuat naik ke dalam Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA).

“Sistem ini sentiasa dipantau oleh kementerian melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Jabatan Kesihatan Negeri dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil.

“PKD bertanggungjawab untuk membuat siasatan, urusan kemasukan sama ada ke hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) atau dirawat di rumah berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan,” katanya dalam sidang akhbar perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan segelintir pihak yang mengaitkan data Covid-19 yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan setiap hari adalah palsu dan rekaan.

Katanya, semua anggota kesihatan yang terlibat dalam pengurusan data di peringkat daerah sehingga ke peringkat kebangsaan diwajibkan menjaga kerahsiaan data pesakit-pesakit Covid-19 yang dikumpulkan itu.

Dalam pada itu Adham berkata, sehingga 27 April, jumlah kes positif Covid-19 di seluruh dunia melonjak kepada 149.31 juta kes dengan angka kematian melebihi 3.15 juta orang menerusi data terbaharu diterbitkan Pusat Sains Sistem dan Kejuruteraan (CSSE) Universiti Johns Hopkins.

Menurutnya, Amerika Syarikat (AS) adalah negara paling teruk terjejas dan berada pada kedudukan tertinggi dari segi jumlah kes dan kematian, masing-masing sebanyak 32.92 juta dan 587,328 kes.

“Ini diikuti India pada kedudukan kedua tertinggi dengan 17.99 juta kes, 201,165 kematian, dan pertambahan sebanyak 362,902 kes baharu. Pada awal tahun ini, India hanya mencatatkan kurang daripada 20,000 kes baharu, namun kes telah meningkat dengan tidak terkawal bermula awal April ini.

“Tidak terkecuali, peningkatan kes Covid-19 dapat dilihat di negara-negara jiran seperti Indonesia (1.65 juta kes), Filipina (1.01 juta kes) dan Thailand (59,687 kes),” katanya.

Katanya, ketiga-tiga negara itu mencatatkan jumlah peningkatan kes yang begitu ketara sejak 14 hari lepas dengan purata kes harian sebanyak 8,624 kes bagi Filipina, 4,900 kes bagi Indonesia dan 1,698 kes bagi Thailand.

Pada masa sama Adham berkata, Kementerian Kesihatan kini sentiasa berwaspada dengan peningkatan kes Covid-19 terutama di Sarawak, Kelantan dan Selangor.

“Justeru Kementerian Kesihatan mempergiatkan langkah-langkah menangani peningkatan ini seperti yang dirancang dalam Strategik Pengurusan Pandemik di bawah Kumpulan Kerja Sekuriti Kesihatan.

“Pelan ini merangka strategi yang perlu dilaksanakan dalam jangka pendek, sederhana dan panjang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya