Data kerajaan 'disimpan' dalam perkhidmatan awan dan keselamatan siber TM ONE - Utusan Malaysia

Data kerajaan ‘disimpan’ dalam perkhidmatan awan dan keselamatan siber TM ONE

MUHYIDDIN Yassin menyerahkan surat perlantikan TM sebagai Penyedia Perkhidmatan Awan (CSP) kepada Mohd. Bakke Salleh (dua kanan) pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Awan dan Keselamatan Siber TM untuk Kerajaan Malaysia di, (KVDC) TM ONE, Cyberjaya. - UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Perkhidmatan awan dan keselamatan siber yang dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah penyelesaian kesalinghubungan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta digital komprehensif untuk menyokong Pelan Transformasi Awan bagi agensi-agensi kerajaan.

Perkhidmatan itu disediakan Telekom Malaysia Berhad (TM), TM ONE sebagai satu-satunya Penyedia Perkhidmatan Awan (CSP) tempatan di bawah rangka tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital).

Kerajaan melalui strategi ‘cloud first’ menyasarkan migrasi 80 peratus data awam ke sistem awan hibrid menjelang akhir tahun depan sebagai langkah memperkasa perkhidmatan pengkomputeran awan bagi sektor awam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar berkata, pihaknya bersedia sebagai peranan utama mempercepatkan transformasi digital kerajaan di bawah agenda MyDigital menerusi infrastruktur pusat data dan awan.

Katanya, penyediaan perkhidmatan bertaraf antarabangsa itu sebagai memenuhi keperluan agensi-agensi kerajaan yang memerlukan penyimpanan dan penempatan data sepenuhnya selain bertindak melindungi data peribadi rakyat.

“TM mempunyai keupayaan untuk melindungi dan menjaga Infrastruktur Rangkaian dan Maklumat Kritikal (CNII) strategik di Malaysia.

“TM kekal komited membina rangkaian dan infrastruktur bersepadu yang kukuh di bawah pelan tindakan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan meningkatkan kecerdasan dan kemahiran digital rakyat Malaysia,” katanya selepas majlis pelancaran itu di Data Teras Lembah Klang (KVDC) TM ONE, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ketua Setiausaha Negara,Tan Sri Mohd. Zuki Ali dan Pengerusi TM, Tan Sri Datuk Seri Mohd. Bakke Salleh.

Perdana Menteri turut menyaksikan pemeteraian perjanjian antara TM dengan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Cloud Connect Sdn. Bhd. untuk Panel Pengkomputeran Awan Berpusat TM dan Penyedia Perkhidmatan Terurus TM.

Muhyiddin turut menyerahkan Surat Pelantikan kepada TM sebagai CSP bagi kerajaan Malaysia.

Dalam pada itu, Imri berkata, pihaknya bersedia untuk mempercepatkan penerimaan digital bagi sektor awam dengan himpunan penyelesaian komprehensif merangkumi awan, pusat data dan keselamatan siber ke arah menjadi Digital Malaysia sepenuhnya menjelang tahun 2030.

Katanya, terdapat pelbagai kelebihan dan keberkesanan untuk mengalihkan perkhidmatan sektor awam ke dalam perkhidmatan awan atas kapasiti kemampuannya untuk menampung sejumlah besar maklumat sekali gus membolehkan data raya (Big Data), Kecerdasan Buatan (AI) dan Segalanya Internet (Internet of Things) dan aplikasi-aplikasi lainnya digunakan bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada seluruh rakyat.

“Perkhidmatan awan mampu mempertingkat keupayaan pengumpulan dan pengurusan data serta membolehkan sektor kerajaan untuk segera memperluaskan perkhidmatan-perkhidmatan pintar baharunya di pelbagai agensi dengan kos pelaksanaan yang lebih rendah,” katanya.

DI bawah perkhidmatan ini, ia menyediakan keupayaan awan lengkap (TM ONE Cloud α), merangkumi perkhidmatan awan menyeluruh termasuklah infrastruktur sebagai perkhidmatan (IaaS) platform sebagai perkhidmatan (PaaS), perisian sebagai perkhidmatan (SaaS), perkhidmatan profesional awan dan perkhidmatan awan terurus.

Sementara itu, TM ONE Cyber Defence Centre (CYDEC) pula akan menyediakan pelbagai perkhidmatan keselamatan terurus bertaraf antarabangsa, termasuklah perkhidmatan Kepintaran Ancaman Siber Global (Global Cyber Threat Intelligence – CTI), Pertahanan Siber Aktif (Active Cyber Defense – ACD) dan Pusat Operasi Keselamatan Siber Global 24/7 (24/7 Global Cybersecurity Operations Centre – G-CSOC) untuk melindungi data kerajaan dan awam.

Ini akan memberi jaminan tambahan kepada pengguna kerana data mereka disimpan dengan selamat dan memenuhi keperluan kawal selia yang telah ditetapkan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya