Cederakan bodyguard: Ahli perniagaan didakwa lagi - Utusan Malaysia

Cederakan bodyguard: Ahli perniagaan didakwa lagi

CHUNG Chee Yang (berbaju biru) diiringi pegawai polis hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan mencederakan dua pengawal peribadinya - UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan yang didakwa di Mahkamah Majistret Klang semalam terhadap lima pertuduhan termasuk memukul dua pengawal peribadinya dan mengeluarkan perkataan menghina agama Islam, didakwa pula di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap empat tuduhan mencederakan mangsa yang sama.

Chung Chee Yang, 43, yang terlibat dalam beberapa perniagaan termasuk pelaburan hartanah, mengaku tidak bersalah terhadap keempat-empat pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Fared Abdul Latif.

Bagi keempat-empat pertuduhan, majikan tersebut didakwa menyebabkan kecederaan terhadap Ahmad Shamsuri Zailani, 27, dan Mohd. Azminizam Zulkepli, 44, di antara pukul 8.40 malam dan 8.43 malam, 13 April lalu di lif dan lobi One KL Kondominium di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau dengan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Mohamad Fared membenarkan Chee Yang dijamin RM10,000 bagi keempat-empat pertuduhan dan menetapkan 2 Jun ini bagi sebutan kes.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Ashikin Mokhtar memohon jaminan yang tinggi iaitu RM20,000 dikenakan terhadap tertuduh bagi setiap pertuduhan.

Pendakwa raya berhujah, kes itu serius kerana kedua-dua mangsa merupakan pekerjanya yang telah berkhidmat hampir tujuh tahun dengan tertuduh dan mereka sepatutnya dilindungi atas dasar kemanusiaan.

Hujah Nor Ashikin, kes yang dihadapi tertuduh semalam meraih perhatian umum dan menyentuh isu sensitif berkaitan agama.

Bagaimanapun, peguam Abdul Hakeem Aiman yang mewakili Chee Yang memohon jaminan RM10,000 dikenakan bagi setiap tuduhan kerana dia menguruskan perniagaan yang tidak memungkinkannya melarikan diri.

Peguam bela berhujah, anak guamnya bukan sahaja ahli perniagaan yang dikenali ramai malah banyak terlibat dalam kerja-kerja amal di sekolah dan kuil di sekitar Klang.

Ujarnya, Chee Yang menanggung empat orang anak yang masih bersekolah selain turut mempunyai masalah kesihatan iaitu kanser usus dan perut dan menghidap insomnia selama bertahun-tahun.

Abdul Hakeem selanjutnya berhujah, isu yang menyentuh sensitiviti seperti yang dihujahkan oleh pihak pendakwaan berlaku di Klang dan tiada kaitan dengan pertuduhan yang dihadapi oleh anak guamnya di sini.

Namun demikian, Nor Ashikin berhujah, insiden melibatkan pertuduhan di Kuala Lumpur berlaku lebih awal yang membawa kepada pendakwaan untuk kes yang lebih berat di Klang.

Semalam, Chee Yang didakwa terhadap lima pertuduhan antaranya menyebabkan kecederaan parah dengan menggunakan sepucuk pistol ke arah Mohd. Azminizam.

Tertuduh turut didakwa bersubahat dengan pembantu peribadinya, Choo Hin Voon,43, dengan mengarahkannya mencederakan Mohd. Azminizam dan Ahmad Shamsuri Zailani menggunakan senjata iaitu sebatang rotan.

Chee Yang juga didakwa mengeluarkan beberapa perkataan menghina agama Islam dan menghalang Mohd. Azminizam berpuasa dengan niat melukakan perasaan keagamaannya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya