Catuan air penduduk di Sedili ditamatkan esok - Utusan Malaysia

Catuan air penduduk di Sedili ditamatkan esok

CATUAN bekalan air di Sedili akan ditamatkan Khamis ini berikutan keadaan paras air di loji Gembut yang meningkat ekoran cuaca hujan di Kota Tinggi, Johor. -UTUSAN/MASTURAH SURADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili, di sini akan kembali menerima bekalan air seperti biasa bermula esok selepas catuan yang dilakukan sejak 25 Mac lalu akan ditamatkan.

Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, beliau dimaklumkan oleh pihak SAJ Ranhill bahawa penamatan catuan bekalan air berjadual Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Gembut dilakukan secara berperingkat bermula malam tadi.

Katanya, tindakan itu diambil ekoran berlakunya hujan sehingga menjadikan paras air loji berada pada tahap normal.

“Sehubungan itu, pihak SAJ Ranhill akan memaklumkan perkara ini kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) secara rasmi agar bekalan air dapat kembali beroperasi seperti biasa pada hari Khamis, 8 April.

“Bersama-sama kita berdoa ke hadrat Ilahi agar tiada kemarau yang berpanjangan sehingga menyebabkan terpaksa berlakunya catuan air kepada penduduk-penduduk di kawasan terlibat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan kira-kira 10,000 penduduk di lima buah kampung, di sini perlu bersedia dengan tong-tong air apabila sering berdepan dengan masalah air bersih sejak 10 tahun lalu yang berlaku dua atau tiga kali setahun.

Penderitaan penduduk bagi mendapatkan bekalan keperluan asas itu dialami mereka yang tinggal di Sedili, Mawai, Felda Aping Timur, Aping Barat serta Perani.

Keadaan itu jelas merunsingkan penduduk yang bakal menyambut ketibaan bulan Ramadan pada Selasa depan dan seterusnya Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain ketika dihubungi pula berkata, isu air berkenaan telah berpuluh tahun berlaku dan diharap kerajaan lebih serius melaksanakan janji-janji berkenaan penambahbaikan bekalan itu kepada rakyat.

Ujar Rasman, semasa Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjadi Menteri Besar beliau setuju memberi peruntukan untuk mengatasi masalah air di Sedili sebelum kemudian ketika di bawah kepimpinan Datuk Osman Sapian pula dimaklumkan konsultan telah dilantik bagi mengatasi masalah itu.

“Namun, tidak lama selepas itu perkara ini menjadi senyap. Kini di bawah Datuk Hasni Mohammad, kita dimaklumkan isu air sedang dalam proses kajian.

“Kita harap kerajaan bersungguh-sungguh dalam menyelesaikan masalah air ini kerana rakyat tidak suka janji-janji yang ditaburkan tetapi tidak dikotakan tambahan pula isu ini sudah berpuluh tahun berlaku,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya