KUALA TERENGGANU: Penggiat pelancongan di negara ini disaran menawarkan diskaun kepada individu yang berjaya melengkapkan sebanyak dua dos vaksinasi Covid-19.
Pensyarah Kanan Program Pelancongan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Zaleha Mohamad berkata, langkah itu bakal melonjak industri pelancongan domestik dan perhotelan sehingga 30 peratus selepas terkesan teruk akibat pandemik Covid-19.
Katanya, inisiatif tersebut dalam masa sama dapat memberi ruang kepada penerima vaksin fasa pertama yang terdiri daripada petugas barisan hadapan berehat selepas setahun berjuang memutuskan rantaian Covid-19.
“Sebagai salah satu usaha lain untuk merancakkan industri pelancongan adalah wajar para penggiat industri ini menawarkan diskaun kepada mereka yang berjaya melengkapkan dua dos vaksin.
“Selain memberi peluang kepada rakyat Malaysia berehat, kita juga dapat menarik orang ramai ke destinasi pelancongan tertentu yang sebelum ini terjejas akibat pandemik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Semalam, Kementerian Kesihatan sekali lagi membayangkan kemungkinan umat Islam boleh merentas negeri untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri pada pertengahan Mei depan.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba bagaimanapun berkata, kebenaran khas itu tertakluk jika individu terbabit sudah pun berjaya melengkapkan sebanyak dua dos vaksinasi Covid-19.
Bagi Timbalan Pengerusi Persatuan Pelancongan Terengganu, Alex Lee Yun Ping, pemberian diskaun itu secara tidak langsung menambah keyakinan rakyat untuk mendaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Katanya, jika cadangan itu dipertimbangkan, sektor pelancongan domestik boleh kembali bernafas sekali gus memberi limpahan rezeki kepada pengusahanya.
“Saya rasa tiada masalah untuk individu yang lengkap vaksinasi diberikan kebenaran khas merentas negeri di samping diskaun pelancongan asalkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan.
“Rata-rata rakyat Malaysia memang menunggu masa untuk bercuti dan potongan harga yang ditawarkan dapat memberi galakan kepada mereka melancong,” katanya. – UTUSAN ONLINE










