fbpx

11 April 2021, 11:44 pm

  TERKINI

Bekas pengurus perolehan Paip didakwa enam pertuduhan kes rasuah

Sani Khan Ali Khan (bertopi) eluar dari Mahkamah Seksyen Kuantan, di Kuantan, Pahang. UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Bekas Pengurus Bahagian Perolehan, Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) didakwa di Mahkamah Seksyen Kuantan, atas enam pertuduhan menerima suapan berjumlah RM160,000 termasuk sebuah kereta bernilai RM154,399 daripada pemilik syarikat kontraktor seliaannya sejak tujuh tahun lalu.

Tertuduh, Sani Khan Ali Khan, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zani, di sini hari ini.

Berdasarkan empat daripada enam kertas pertuduhan yang dibacakan, tertuduh menerima sejumlah wang daripada Mohd. Azahari Mohd. Ramli bagi membantu Syarikat Aliran Puncak Services mendapatkan kerja membekal dan menghantar stopcock clamp kepada Paip.

Mohd. Azahari telah menyalurkan wang sebagai tanda upah berjumlah antara RM30,000 hingga RM50,000 melalui empat kali pemindahan dalam akuan CIMB bank miliknya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan Sani Khan di Restoran Jaman Tory, Indera Mahkota, dekat sini bermula 2016 hingga Disember 2018.

Bagi tuduhan kelima, tertuduh secara rasuah bersetuju menerima satu suapan sebanyak 50 peratus daripada hasil keuntungan Syarikat Aliran Puncak Services untuk membekalkan stopcock clamp kepada Paip.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di Tingkat 3, pejabat Paip di Indera Mahkota di sini pada tahun 2014.

Dengan itu, bagi lima pertuduhan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta Sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Dalam pertuduhan terakhir, sebagai penjawat awam tertuduh didakwa telah mendapatkan sebuah kereta jenis Mazda CX5 daripada Nor Amli Daud yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi tertuduh dan telah melanggar peruntukan Akta SPRM 2009 (Akta 694) untuk menggalakkan integriti dan kebertanggungjawab pentadbiran sektor awam serta gagal melaporkan kesalahan penyogokan kepada SPRM.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Gabungan Suria Sdn. Bhd., di Jalan Tun Ismail, pada 9 Mac 2016.

Dengan itu, tertuduh telah melanggar peruntukan Seksyen 25 (2) akta yang sama dan hukuman jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Timbalan Pendakwaraya SPRM, Mohammad Asyraf Mohamed Tahir menawarkan ikat jamin RM50,000 bagi kesemua pertuduhan beserta beberapa syarat tambahan antaranya Sani Khan perlu melapor diri di Pejabat SPRM Pahang pada minggu pertama setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga perbicaraan kes selesai.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Datuk Mohd. Najid Hussain memohon jumlah ikat jamin dikurangkan kerana pendapatan bulanan anak guamannya itu berkurangan dan perlu membayar beberapa komitmen serta menanggung tiga anak yang masih bersekolah selain perlu menyara ibu serta isteri.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi semua pertuduhan beserta syarat yang telah dipohon oleh, pihak pendakwaan dan kes disebut semula pada 10 Mei depan.- UTUSAN ONLINE