Bekas pengurus besar kanan didakwa minta suapan RM112,000 - Utusan Malaysia

Bekas pengurus besar kanan didakwa minta suapan RM112,000

CHUA Shiou Meng (tengah) diiringi peguamnya (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi tuduhan meminta suapan bernilai RM112,000. -UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengurus besar kanan sebuah syarikat pembinaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meminta suapan bernilai RM112,000, empat tahun lalu.

Chua Shiou Meng, 48, yang sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam dekat sini atas tuduhan melibatkan kesalahan rasuah, didakwa pula di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Shiou Meng didakwa telah secara rasuah meminta untuk dirinya suatu suapan daripada pemilik sebuah syarikat, Chua Siong Huat, 52, iaitu komisen RM0.50 bagi setiap meter kiub (RM112,000) setiap bulan.

Suapan itu sebagai dorongan agar tidak memberikan laporan prestasi kerja yang kurang baik yang boleh menyebabkan kontrak syarikat Siong Huat dibatalkan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di restoran Hailam Kopitam di Bukit Jalil, di sini, pada bulan Julai 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fadhli Ab. Wahab memohon supaya kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama dengan kes lain yang dihadapi tertuduh.

Ujarnya, kes yang dihadapi tertuduh di sini turut melibatkan tiga lagi pertuduhan di Shah Alam membabitkan siasatan sama manakala saksi-saksi yang akan dipanggil juga serupa.

Pada 22 Mac lalu, Shio Meng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan membabitkan rasuah berjumlah lebih RM200,000 antara 2017 dan 2019.

Menurut pendakwa raya, pihaknya memohon jaminan dikemukakan di Mahkamah Sesyen Shah Alam juga pada tarikh sebutan kes tertuduh yang akan datang.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada tarikh sebutan yang telah ditetapkan pada 22 April ini.

Tertuduh diwakili oleh peguam Datuk Krishnan Kesavan Nair dan Nik Ahmed Asraf Nik Othman. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya