Bekas pengerusi JKKK mengaku salah tipu dana bina surau - Utusan Malaysia

Bekas pengerusi JKKK mengaku salah tipu dana bina surau

ZULKIFLI Othman di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tuduhan menipu dana sumbangan pembinaan surau empat tahun lalu. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) didenda RM150,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menipu membabitkan dana sumbangan pembinaan surau berjumlah lebih RM350,000, empat tahun lalu.

Hakim S. Indra Nehru menjatuhkan hukuman itu setelah Zulkifli Othman, 59, mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Mahkamah turut memerintahkan Zulkifli menjalani hukuman penjara 15 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Tertuduh kemudian membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memperdaya Datuk Rusnah Kassim dengan mendorong beliau mempercayai bahawa bayaran RM350,000 adalah sumbangan bagi membina surau baharu di tapak surau lama di Kampung Kubu, Tanjung Malim pada 15 Mac 2017.

Tindakan tertuduh itu mendorong Rusnah yang juga Exco kerajaan negeri ketika itu memohon sumbangan berjumlah RM350,000 kepada Pejabat Menteri Besar untuk diluluskan pengeluaran cek.

Sumbangan yang telah diluluskan itu kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun Bank Islam Malaysia Berhad atas nama penerima JKKK Kampung Lambak, Cabang Lima dan Lubok Salak di mana kerja-kerja pembinaan surau baharu itu masih tidak dilaksanakan sehingga kini.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dia bagaimanapun dilepaskan dan dibebaskan bagi dua pertuduhan lain di bawah Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Maziyah Mansor manakala tertuduh diwakili peguam, Hisham Nazir.

Pada prosiding tersebut, Indra Nehru turut mengarahkan wang simpanan berjumlah RM203,686.45, sebuah kereta Honda Civic bernilai RM33,500 dan sebuah komputer riba dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Media pada 14 Januari tahun lalu melaporkan, Zulkifli yang juga bekas Ketua Kampung Lambak, Cabang Lima dan Lubuk Salak didakwa di mahkamah sama atas tiga pertuduhan menyeleweng dana sumbangan pembinaan surau berjumlah lebih RM350,000.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.