Bawa sejadah, mula belajar mengaji - Utusan Malaysia

Bawa sejadah, mula belajar mengaji

MUNA Mohmad Latib menunjukkan gambar adiknya, Yunus Mohmad Latib yang meninggal dunia dalam kemalangan melibatkan dua buah motosikal di kilometer tiga, Jalan Chembong-Ulu Kanchung, Rembau hari ini ketika ditemui Utusan Malaysia di Jabatan Forensik Hospital Rembau, Rembau hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: “Sejak tahun lepas, adik mula berubah, dia belajar mengaji serta sering membawa sejadah apabila keluar ke mana-mana,” luah Muna Mohmad Latib, 33, ketika ditemui Utusan Malaysia di Jabatan Forensik Hospital Rembau, di sini hari ini.

Dia merupakan kakak kepada Yunus Mohmad Latib, 26, salah seorang mangsa yang maut dalam kemalangan melibatkan dua buah motosikal di kilometer tiga, Jalan Chembong-Ulu Kanchung, dekat sini hari ini.

Seorang lagi mangsa maut ialah warga emas, Khalid Salleh, 71.

Menurut Muna, dia tidak menyangka Yunus yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik itu meninggal dunia dalam kemalangan.

Perkara itu selepas abang sulungnya, Marwan Mohmad Latib juga meninggal dunia akibat kemalangan, 10 tahun lalu.

“Adik lah harapan keluarga. Sejak dia bekerja di sebuah kilang di Chembong tiga tahun lalu, dialah yang banyak membantu keluarga dengan memberi wang RM300 setiap bulan, itu belum lagi bantu beli barang makanan buat keluarga.

“Sejak Julai tahun lalu, dia mula belajar mengaji dengan rakannya dan sering membawa sejadah jika mahu ke mana-mana,” katanya.

Muna berkata, adiknya itu sempat menghubunginya kira-kira pukul 8.17 pagi sebelum kejadian tersebut.

“Dia memberitahu untuk datang lebih awal ke rumah di Pedas Perdana bagi menjaga nenek serta ibu. Pagi itu, adik sempat angkat nenek kami masuk ke dalam bilik air, itulah rutinnya menjaga nenek.

“Kami tak sangka akan kehilangan adik secepat ini. Ada penduduk yang beritahu yang menemui sejadah di motosikal adik,” katanya lagi.

Ketua Polis Daerah Rembau, Pemangku Deputi Superintenden, Hazri Mohamad, kemalangan berkenaan membabitkan dua buah motosikal iaitu Yamaha NMAX yang ditunggangi Yunus dari arah Ulu Kanchong dan sebuah skuter yang ditunggangi Khalid dari arah Chembong.

“Berdasarkan siasatan awal, sebaik sampai di tempat kejadian dipercayai motosikal yang ditunggangi mangsa masing-masing dari arah bertentangan telah bertembung sesama sendiri.

“Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik di lokasi kejadian,” katanya.

Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, isteri Khalid, Rosnah Abdul Majid, 68, berkata, suaminya itu keluar bekerja sebagai penyelia pengawal keselamatan sekitar pukul 6.30 pagi dari rumah mereka di Bandar Spring Hill, Port Dickson.

“Kebiasaannya sekiranya ingin menyelia keselamatan di lokasi yang agak jauh, suami akan meminta bantuan saya untuk menghantarnya ke lokasi berkenaan.

“Namun kali ini mungkin kerana anak kami baru sahaja seminggu berpantang di rumah, suami tidak meminta ditemani dan saya terkejut apabila mendapat panggilan yang memberitahu suami meninggal dunia akibat kemalangan di Rembau,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.