Bakti Ar Rahnu untuk penduduk Setapak - Utusan Malaysia

Bakti Ar Rahnu untuk penduduk Setapak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Co-op Bank Pertama Berhad (CBP) buat pertama kali merasmikan pembukaan cawangan berdiri sendiri Ar-Rahnu CBP dan premis perbankan CBP di Setapak.

Pembukaan kedua-dua premis itu menjadi penanda aras kepada komitmen CBP menyediakan perkhidmatan perbankan patuh syariah kepada penduduk di kawasan itu.

Pengerusi CBP, Kamari Zaman Juhari, berkata, pembukaan cawangan Ar Rahnu CBP adalah bersandarkan prestasi pengeluaran pembiayaan yang memberangsangkan pada 2020.

Malah katanya, pengeluaran pembiayaan turut meningkat sebanyak 76.7 peratus iaitu RM214.3 juta berbanding RM121.2 juta pada 2019.

“Ini membuktikan Ar Rahnu CBP mampu melaksanakan tanggungjawab diamanahkan dengan memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan. CBP juga sentiasa memastikan perkhidmatan ini ditawarkan selaras hukum syarak perniagaan pajak gadai Islam.

“Selari dengan arahan pengawalselia, berkuatkuasa 1 Januari 2021, CBP menukar konsep Ar Rahnu upah simpan kepada konsep Tawarruq dan Rahn (gadaian),” katanya selepas Majlis Perasmian pembukaan cawangan pertamanya di sini, hari ini.

Dalam program sama, CBP turut menyampaikan sumbangan kepada 20 pelajar dari keluarga berpendapatan rendah (B40) dari sekolah sekitar kawasan Setapak sebagai sebahagian daripada usaha program tanggunjawab sosial (CSR) CBP dan memastikan setiap pelajar mempunyai akses terhadap pendidikan.

Kamari Zaman berkata, Ar Rahnu CBP terbuka kepada pelanggan bukan Islam dan secara individu, koperasi serta korporat disamping menyasarkan pembukaan satu cawangan sama di setiap negeri

“Sehingga kini, selain pelanggan Islam perkhidmatan Ar Rahnu CBP turut mendapat perhatian dari pelanggan India dan kami mahu meluaskan perkhidmatan ini kepada masyarakat agama lain.

“Cawangan Ar Rahnu unik kerana ini adalah perintis cawangan stand alone dan akan buka lima lagi cawangan sama. Selain itu, pihak kami cuba fahami cabaran sedia ada sebelum melaksanakan fasa ketiga iaitu membuka cawangan ini di seluruh negara,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Ar Rahnu CBP menawarkan kadar keuntungan kompetatif dan bagi memberikan perkhidmatan terbaik, Ar Rahnu cuba memendekkan proses urusan penggadaian pada purata sekarang adalah 15 minit.

“Pun begitu, proses menentukan ketulenan emas perlu dilakukan dengan teliti bagi mengelak kerugian berlaku terutama kepada pihak kami,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya