Bahulu enak legasi datuk - Utusan Malaysia

Bahulu enak legasi datuk

SYAHRUL Imran Iskandar Nor bersama neneknya, Mardiah Yaakub menunjukkan bahulu bakar tradisional yang telah siap disediakan ketika ditemui pemberita di Kampung Serting Ilir, Jempol, semalam.-FOTO/NURULAZMA SHAFIQAH KHAIRUL AZHAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Walaupun terdapat pelbagai teknologi moden bagi penyediaan kuih bahulu ketika ini namun keunikan rasa kuih popular orang Melayu yang dibakar secara tradisional iaitu menggunakan sabut kelapa masih menjadi pilihan.

Menyedari ia mempunyai permintaan, seorang pemuda, Syahrul Imran Iskandar Nor, 23, dari Kampung Serting Ilir, dekat sini mengambil keputusan mengusahakan jualan kuih bahulu yang disediakan secara tradisional itu.

Menariknya, Syahrul Imran memberitahu, perusahaannya itu adalah bagi meneruskan legasi bahalu sabut resipi turun-temurun datuknya sejak 39 tahun lalu.

“Sebenarnya bahulu ini, nenek saya yang usahakan sejak tahun 1982 lagi bersama arwah datuk saya. Resipi bancuhan pun arwah datuk yang punya.

“Namun, sejak datuk meninggal pada tahun 2015, perusahaan ini terhenti begitu sahaja dan nenek juga sudah tidak sihat atas faktor usia. Kebetulan, selepas habis belajar saya tidak ada kerja dan mula mencuba untuk memulakan perusahaan ini semula,” katanya ketika ditemui pemberita di bengkel perusahaan kuih bahalu miliknya di sini semalam.

Tambah Syahrul lagi, dia begitu bersyukur kerana neneknya masih lagi mengingati resipi bancuhan bahulu tersebut. 

“Memandangkan bahulu arwah datuk ini agak terkenal sejak sekian lama, jadi saya perlu teruskan dengan rasa yang sama. Mujur nenek masih ingat bahan-bahan dan cara pembuatannya supaya rasa itu kekal sama seperti yang arwah datuk buat dahulu,” ujarnya. 

Sementara itu, Mardiah Yaakub, 93, berkata, dia sangat menyokong usaha cucunya itu yang ingin meneruskan legasi warisan arwah suaminya. 

“Kalau tengok budak muda sekarang, mungkin susah nak jumpa yang mahu buat kerja-kerja sebegini. Apatah lagi, perlu cari sabut, bermain dengan api dan asap untuk menghasilkan bahulu sabut ini.

“Namun, Syahrul mahu teruskan juga dan sekarang permintaan pun dah semakin meningkat. Orang kampung dan pelanggan terdahulu juga sudah mula mencari kembali bahulu sabut kami,” katanya.  – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya