Ayam sabung, Murai Batu bernilai RM870,000 dirampas - Utusan Malaysia

Ayam sabung, Murai Batu bernilai RM870,000 dirampas

ANGGOTA Maritim Malaysia memeriksa sebahagian daripada ayam sabung yang dirampas dipercayai cuba diseludup di negara jiran di Langkawi. - UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mematahkan cubaan menyeludup ayam sabung dan burung Murai Batu bernilai hampir RM870,000 selepas menahan sebuah bot di kedudukan 2.1 batu nautika barat laut Pulau Anak Datai di sini semalam.

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, bot tersebut yang dinaiki tiga lelaki warga Indonesia ditahan pada pukul 12.30 tengah malam.

Menurut beliau, bot gentian kaca berwarna hijau tanpa nombor pendaftaran itu dikesan daripada radar Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) sebuah bot ronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan Op Aman dan Op Benteng pada pukul 11.25 malam.

“Bot tersebut dipintas lebih kurang sejam selepas dikejar bot ronda tersebut dalam keadaan laut bergelora, dan tiga lelaki warga Indonesia berusia 35 hingga 42 tahun ditahan selepas pemeriksaan dilakukan.

“Sebanyak 71 ekor ayam sabung diletakkan di dalam 60 kotak yang bernilai RM710,000 dan 40 ekor burung Murai Batu di dalam tiga buah sangkar bernilai RM160,000.

“Selain itu, sebanyak 20 tong petrol dan 533 pokok kaktus pelbagai saiz juga ditemukan dalam bot berkenaan yang dipercayai dalam perjalanan untuk diseludup ke negara jiran,” katanya pada dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Zawawi memberitahu, ayam sabung dan burung Murai Batu itu dipercayai mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penggemar burung di negara jiran.

“Bot yang ditahan itu disyaki bergerak dari Thailand menuju ke Indonesia dan menjadikan perairan Malaysia sebagai transit dan hab kepada pelbagai spesies haiwan serta tumbuhan untuk diseludup,” katanya.

Menurut beliau, kesemua suspek yang ditahan itu juga gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Tambahnya, jumlah keseluruhan nilai rampasan termasuk sebuah bot dianggarkan RM1.02 juta.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Sub-seksyen 36(1) Akta Binatang 1953, dan Seksyen 61 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya